(Gambar hiasan) Logo Perodua pada kenderaan elektrik QV-E. Foto AIZAT ZAINAL, 01 DISEMBER 2025.

 

KUALA LUMPUR – Perodua menjangka jumlah keseluruhan industri (TIV) akan mencecah 820,000 bagi tahun 2025, mengatasi 816,747 unit yang diumumkan tahun lalu, sekali gus memberi petunjuk permintaan kekal sihat didorong oleh minat pembeli.

Tahun lalu, Perodua mengeluarkan 370,370 unit kenderaan, naik 0.6% daripada 368,100 kenderaan pada tahun 2024.

Manakala jualan pula meningkat sebanyak 0.5% kepada 359,904 unit berbanding 358,102 unit yang didaftarkan pada 2024.

Berdasarkan jangkaan dalaman, pegangan pasaran Perodua kini sebanyak 43.9%.

“Dengan jumlah pengeluaran sebanyak 370,370 unit dan pendaftaran (359,904 unit), kami telah berjaya mengatasi rekod yang dicapai pada tahun 2024,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad.

Menurutnya, model Perodua Bezza mengekalkan kedudukan teratas dengan 100,488 unit dijual pada 2025, tahun kedua model kenderaan itu mencatat jualan melebihi 100,000 unit, diikuti Axia dengan 84,291 unit dan Myvi sebanyak 72,724 unit.

“Ketiga-tiga model ini kekal sebagai tiga model tertinggi daripada aspek jualan di dalam negara ini dan kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana terus menyokong usaha kami untuk menawarkan nilai yang lebih baik terhadap produk-produk kami,” tambah Zainal.

Tambahnya, untuk model QV-E dan Traz yang baru dilancarkan, impaknya terhadap jumlah jualan hanya akan diketahui pada tahun ini.

“Dengan adanya sokongan kuat daripada rakyat Malaysia, keseluruhan ekosistem automotif di negara ini akan mendapat manfaat yang besar menerusi pembelian komponen bernilai RM11 bilion daripada vendor tempatan dan dalam masa yang sama memperkasakan usahawan tempatan seperti pengedar bertauliah dan stokis Perodua.

“Kami akan terus memainkan peranan sebagai pembina negara dengan terus mengembangkan perniagaan di sini, terutama sekali dalam industri kenderaan elektrik serta tawaran digital lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast