Gambar hiasan.

KOTA TINGGI – Polis menahan seorang jurulatih bola sepak kerana disyaki mencabul dan meliwat seorang remaja lelaki berusia 15 tahun di Kampung Gembut, Tanjung Sedeli di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi suspek berusia 50-an menahannya pada Jumaat lalu.

“Suspek merupakan jiran mangsa dan laporan polis dibuat mangsa sendiri. Polis menerima laporan polis berkenaan kejadian itu di Kampung Gembut.

“Kejadian adalah pertama kali berlaku. Kejadian pada 8 Januari lalu dan berlaku di pondok belakang rumah suspek.

“Bertindak atas maklumat dan laporan polis yang diterima, pada hari yang sama, polis berjaya menahan suspek untuk membantu siasatan. Suspek merupakan seorang jurulatih bola sepak bertauliah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof memberitahu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Menurut beliau, suspek itu ditahan reman selama empat hari yang berakhir hari ini.

Pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pendakwa raya untuk mendapatkan arahan pertuduhan.

Beliau bagaimanapun meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

“Suspek boleh dikenakan tindakan penjara tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat bagi kesalahan tersebut,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast