Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Canselor dan Presiden HELP Universiti, Datuk Dr Paul Chan pada Majlis Menandatangani MOU antara SPRM bersama HELP Universiti dan Pelancaran Forum Tadbir Urus dan Siri Intergriti 2026 di M Resort Hotel, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 13 JANUARI 2026

PETALING JAYA – Keputusan sama ada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) akan disambung reman dalam masa terdekat atau tidak bergantung kepada siasatan yang dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ia kerana tempoh reman individu itu selama tujuh hari dan masih berbaki satu hari lagi sehingga esok.

“Saya tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana tempoh reman ada satu hari lagi iaitu esok dan kami sebenarnya ada 14 hari (tempoh reman).

“Bagaimanapun ia bergantung, jika penyiasat memerlukan lebih banyak masa kami akan memohon dengan mahkamah untuk lanjutkan reman itu.

“Perkembangan berkaitan siasatan isteri kedua suspek akan diberitahu dalam sidang media pada 15 Januari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) SPRM bersama Help Universiti di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, bekas PTD direman tujuh hari sehingga 14 Januari depan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah melibatkan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Dua individu yang turut direman ialah isteri pertama suspek selama tiga hari iaitu sehingga 10 Januari manakala isteri kedua pula selama enam hari sehingga 13 Januari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Dalam pada itu, SPRM turut menyita sset bernilai lebih RM2.2 juta dipercayai milik isteri kedua suspek susulan penggeledahan di kediaman wanita itu di Besut, Terengganu.

Hasil pemeriksaan menemui 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa kira-kira RM2 juta dan menemui dua bagasi dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast