KUALA LUMPUR – Penganjur program Glamping With Pride mengesahkan pembatalan program itu berikutan perkembangan keselamatan yang serius dan membimbangkan sejak beberapa hari lalu.
Jejaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima ancaman keselamatan termasuk ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial, selain pemilik lokasi program itu turut membatalkan tempahan atas faktor keselamatan.
Menurutnya, ancaman-ancaman itu telah didokumenkan dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa melalui laporan polis.
“Kami ingin menegaskan dengan jelas: pembatalan ini bukan kerana akvitivi rekreasi ini menyalahi undang-undang atau sebaliknya, tetapi kerana keadaan semasa yang dicetuskan oleh retorik tidak bertanggungjawab, kecelaruan maklumat dan fear mongering, sehingga menjadikan nyawa sebagai taruhan keselamatan,” katanya.
Menurutnya, sebelum isu itu disensasikan secara meluas, hanya 14 peserta yang berdaftar, namun dalam tempoh beberapa hari sahaja, sekitar 50 orang telah menyatakan minat untuk menyertai program pendidikan kesihatan tersebut.
Bagaimanapun, ujarnya, akibat ketakutan dan momokan yang dicetuskan, 50 individu tersebut kini kehilangan ruang selamat untuk berkumpul dan belajar tentang kesihatan di ruang alam semula jadi Malaysia.
“Ini adalah kesan sebenar daripada stigma dan kepanikan moral,” katanya.

Dalam masa sama, tambahnya, Jejaka juga kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang gagal menenangkan keadaan.
Menurutnya, pihak tersebut gagal menjalankan tugas mereka untuk mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman, malah lebih memburukkan lagi situasi itu.
Tegasnya, ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan.
“Hakikatnya, komuniti lesbian, gay, biseksual, trans dan queer (LGBTQ+) wujud di seluruh Malaysia; di bandar raya dan desa, dalam kalangan keluarga, tempat kerja dan komuniti serata negara.
“Kami bukan ancaman, kami bukan orang asing. Kami semua adalah rakyat Malaysia.
“Hak kami untuk hidup dengan selamat, bermaruah dan tanpa ketakutan juga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dan kewajipan untuk melindungi hak ini terletak pada semua pihak,” katanya.
Kenyataan itu menegaskan, program Glamping With Pride hanyalah aktiviti komuniti tertutup yang bersifat pendidika dan kesihatan, serta sebahagian usaha mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan awam seperti HIV.
Malah, ujarnya, aktiviti perkhemahan dan rekreasi berlaku di negara ini setiap hari.
“Komuniti LGBTQ+ juga berhak diberi ruang yang sama tanpa diancam dengan apa-apa bentuk ugutan bersifat keganasan,” katanya.
Tambahnya, walaupun program itu dibatalkan atas faktor keselamatan, Jejaka berdiri teguh di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan, dan keputusan tersebut dibuat bagi melindungi nyawa, bukan kerana mengalah.
“Usaha kami dalan menerapkan pendidikan kesihatan, menguatkan sokongan komuniti dan mempertahankan maruah serta hak asasi akan diteruskan dalam ruang selamat dan bertanggungjawab,” katanya. – MalaysiaGazette
















