BAYAN LEPAS – Tanah bukit di Bukit Relau di sini, yang mencetuskan kebimbangan orang ramai susulan wujud aktiviti penebangan dan pembersihan pokok seperti tular di media sosial disahkan sebagai tanah milik persendirian dan diklasifikasikan sebagai kategori ‘First Grade’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, kawasan berkenaan bukan membabitkan tanah kerajaan seperti yang didakwa.
“Kita mengambil maklum aduan awam yang tular di media sosial berhubung aktiviti penebangan pokok di bukit berkenaan dan pemeriksaan lanjut telah dijalankan.
“Hasil pemeriksaan menggunakan dron mendapati tiada kerja tarahan tanah dilakukan, sebaliknya hanya penebangan pokok secara manual,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan semakan pihak berkuasa tanah dan daerah, tiada peruntukan atau klausa yang membolehkan aktiviti berkenaan dihalang memandangkan ia melibatkan tanah persendirian serta tertakluk kepada perancangan pemilik tanah.
“Tanah bukit itu berada dalam Mukim 10 dan bukan kawasan hutan simpan seperti yang didakwa.
“Bagaimanapun, tindakan teguran dan amaran akan dikeluarkan sekiranya terdapat aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan alam sekitar,” katanya.
Semalam, tular satu hantaran di Facebook yang mendakwa berlaku aktiviti menarah bukit di kawasan Teluk Kumbar, dengan pengguna media sosial mempersoalkan sama ada kawasan itu adalah hutan simpan. – MalaysiaGazette
















