PUTRAJAYA – Kabinet tidak membincangkan isu berkaitan penternakan babi di Selangor dalam mesyuarat hari ini, kata Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, perkara itu tidak dibawa untuk perbincangan lanjut kerana kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini sudah memadai bagi menjelaskan pendirian kerajaan negeri itu berhubung isu berkenaan.
“Tidak. Tidak ada dibincangkan,” katanya yang menjawab soalan pemberita yang bertanya sama ada mesyuarat tersebut ada membincangkan isu berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata, penjelasan dan pendirian yang disampaikan oleh Menteri Besar Selangor sebelum ini sudah mencukupi untuk memberi gambaran sebenar kepada rakyat.
“Kenyataan Menteri Besar di Selangor semalam memadai,” katanya ringkas.
Artikel berkaitan: Sultan Selangor titah tiada penternakan babi di Tanjong Sepat
Sultan Selangor tak setuju rancangan ternakan babi di Kuala Langat
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menegaskan, Kerajaan Persekutuan tidak melihat keperluan untuk campur tangan dalam isu berkenaan buat masa ini.
Isu berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi selepas kerajaan negeri itu memutuskan penternakan babi di Selangor hanya dibenarkan beroperasi di Ladang Tumbuk, Tanjong Sepat, Kuala Langat mulai tahun ini.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Datuk Ir Izham Hashim berkata, ia bagi memudahkan penyelarasan dan titik kawalan penyakit antaranya demam babi Afrika (ASF).
Beliau menjelaskan, keputusan hasil perbincangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) itu dibuat bagi tempoh tiga tahun sebelum semua ladang babi akan berpindah ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Katanya, penetapan baharu itu membabitkan 112 ladang dan pengusaha diminta membuat pembaharuan lesen mengikut Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1961 secepat mungkin.
Bagaimanapun, Sultan Selangor murka dengan perancangan kerajaan negeri yang membenarkan operasi penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat, bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Menerusi titah kenyataan, baginda tidak bersetuju apabila ada kemungkinan ia membabitkan penternakan babi berskala besar dan berorientasikan eksport ke luar negara.
“Namun, perancangan berskala besar adalah tidak wajar, tidak sensitif dan tidak seimbang dengan realiti demografi serta keharmonian masyarakat Selangor yang majoritinya adalah populasi orang Melayu Islam,” titah baginda. – MalaysiaGazette
















