KUALA LUMPUR – Sultan Selangor menitahkan tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat.
Justeru, operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur dan seterusnya dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar, mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
Titah itu dibuat Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan sesi menghadap yang telah berlangsung bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. lzham Hashim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, Datuk Ng Suee Lim di lstana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor telah meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di Negeri Selangor, dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah.
Selain itu, baginda menitahkan satu kajian yang terperinci, serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Negeri Selangor sahaja.
Baginda menegaskan tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut.
Dapatan kajian ini hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal.
Baginda juga menegaskan Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat
pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
“Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.
“Baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang, demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette
Sultan Selangor tak setuju rancangan ternakan babi di Kuala Langat
















