KUALA LUMPUR – Seorang pelajar yang cedera parah dalam insiden letupan di kafeteria Universiti HELP di Bukit Damansara masih tidak sedarkan diri, manakala dua lagi mangsa utama terus menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setakat ini tiga mangsa masih dirawat, membabitkan seorang penyelia kontraktor berusia 54 tahun, seorang pelajar berusia 19 tahun dan seorang pekerja warga Indonesia berumur 22 tahun.
Menurutnya, pelajar berkenaan yang difahamkan penuntut jurusan perundangan di universiti berkenaan mengalami kecederaan serius termasuk patah tengkorak serta pendarahan di otak.
Manakala penyelia kontraktor mengalami kecederaan melecur, pekerja asing terbabit berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau.
“Enam lagi mangsa yang sebelum ini menerima rawatan telah dibenarkan keluar hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pihak pengurusan HELP University merakamkan ucapan takziah dan menyatakan keprihatinan terhadap semua mangsa yang terjejas akibat kejadian berkenaan.
Canselor HELP University, Prof Datuk Dr Paul Chan sebelum ini berkata, pihaknya amat kesal dengan insiden berkenaan dan memberi jaminan kebajikan mangsa akan terus diberi perhatian.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pekerja yang maut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan unit penyaman udara, serta mendoakan kesembuhan segera kepada pelajar yang cedera,” katanya.
Insiden yang berlaku Isnin lalu itu dipercayai berpunca daripada kegagalan pemampat penyaman udara di kampus di universiti berkenaan sehingga mengakibatkan seorang kontraktor luar maut dan sembilan individu lain cedera, termasuk empat pelajar.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur memaklumkan letupan berlaku di bilik pemampat penyaman udara ketika kerja penyelenggaraan sedang dijalankan dan memusnahkan kira-kira satu pertiga ruang berkenaan.
Sementara itu, jenazah pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang maut dalam kejadian berkenaan telah dituntut keluarganya semalam di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.
Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTAR, Prof Chang Yoong Choon yang mewakili keluarga mangsa berkata, mereka menghargai liputan media berhubung insiden berkenaan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kejuruteraan mekanikal yang dijadualkan menamatkan latihan industri minggu ini. -MalaysiaGazette
















