MPHTJ bertindak menutup sebuah hotel di Malim Jaya, Melaka yang tular mempromosikan hubungan sejenis selepas premis berkenaan dibiarkan kosong dipercayai pemilik dan pekerjanya lesap ketika operasi yang turut disertai penguat kuasa JAIM

MELAKA – Pemilik hotel butik di Malim Jaya yang mencetuskan kontroversi dengan promosi konsep ‘mesra gay’ masih gagal hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa hari ini.

Kegagalan pemilik premis tersebut hadir ke pejabat Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyebabkan proses siasatan terhadap dakwaan aktiviti tidak bermoral itu
tidak dapat dilengkapkan.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, pemilik berkenaan sepatutnya hadir hari ini bagi memberi penjelasan berhubung penularan isu tersebut setelah dimaklumkan semalam.

“Sepatutnya (pemilik) datang hari ini, namun tidak jadi dan kita sendiri tidak pasti apakah sebabnya.

“Walau bagaimanapun, kita telah mengaturkan semula pertemuan pada jam 2.30 petang esok,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita hari ini.

Sapiah Haron

Terdahulu, dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semalam, pihak berkuasa mendapati premis 37 bilik itu ditinggalkan kosong tanpa penjaga mahupun pelanggan.

Situasi semakin mencurigakan apabila pemeriksaan di salah sebuah bilik menemui dua kotak kondom yang telah digunakan, seolah-olah premis tersebut baru sahaja dikosongkan secara tergesa-gesa.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan tular satu hantaran di media sosial mendakwa kewujudan sebuah hotel berkonsepkan ‘gay friendly’ yang mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet.

Menerusi hantaran ditulis pendakwah bebas itu, Firdaus Wong Wai Hung, beliau membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’.

Penceramah itu turut membandingkan konsep ‘gay friendly’ bersama istilah lain seperti ‘pet-friendly’, ‘family friendly’ dan ‘Muslim friendly’ yang menurutnya kini dijadikan strategi penjenamaan perniagaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast