Novokuznetsk Maternity Hospital No. 1

MOSCOW – Polis Russia telah menahan ketua doktor dan pemangku ketua unit rawatan rapi di sebuah hospital di Siberia selepas sembilan bayi meninggal dunia bulan ini.

Pendakwa raya mendakwa kedua-dua individu tersebut atas kesalahan kecuaian dan menyebabkan kematian, menurut kenyataan Jawatankuasa Penyiasatan Russia.

Punca sebenar kematian di Hospital Bersalin Novokuznetsk No. 1 masih belum diketahui.

Namun, pihak berkuasa kesihatan wilayah berkata, semua bayi tersebut menghidap pelbagai penyakit yang dipindahkan semasa kelahiran.

Pada hari Selasa, hospital itu mengumumkan telah berhenti menerima pesakit berikutan kadar jangkitan pernafasan yang tinggi.

“Antara 4 Januari hingga 12 Januari 2026, sembilan bayi baru lahir meninggal dunia di Hospital Bersalin Novokuznetsk No. 1 akibat pelaksanaan tugas rasmi dan profesional perubatan oleh suspek yang tidak mengikut piawaian,” kata Jawatankuasa Penyiasatan Russia dalam satu kenyataan.

Siasatan forensik terhadap kematian setiap bayi sedang dijalankan, tambah kenyataan itu.

Akhbar tabloid Russia, Komsomolskaya Pravda, melaporkan pada hari Selasa, hospital tersebut kekurangan puluhan kakitangan, namun pihak hospital menafikan dakwaan itu.

Yang Dipertua Dewan Tinggi Parlimen Russia menyifatkan insiden itu sebagai satu tragedi.

“Ia tidak boleh berulang lagi,” kata Valentina Matvienko dalam satu kenyataan.

Gabenor wilayah Kuzbass, yang merangkumi Novokuznetsk berkata, beliau telah mengarahkan pemeriksaan ke atas semua hospital bersalin dan prakelahiran di wilayah itu.

Ahli Parlimen Pro-Kremlin, Yana Lantratova menulis di Telegram: “Dalam waktu krisis demografi, membenarkan beberapa bayi meninggal dunia di satu hospital bersalin dalam tempoh yang begitu singkat adalah satu jenayah terhadap negara”.

Hospital bersalin lain di Novokuznetsk, sebuah bandar dengan kira-kira setengah juta penduduk di selatan Siberia masih beroperasi, menurut kementerian kesihatan wilayah. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast