Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengibarkan bendera UMNO pada Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan membiarkan negara menjadi huru-hara, tegas Timbalan Presiden UMNO.

Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan keluar kerajaan itu bukan kerja negarawan, sebaliknya sebagai perbuatan mereka yang tunduk kepada emosi.

Ujarnya, perbezaan politik yang dibiarkan membarah tanpa kebijaksanaan akan menyebabkan kerajaan runtuh, dan tanpa pelan penggantian yang jelas, yang lahir bukanlah kebebasan, tetapi kekosongan kuasa (power vacuum).

“Kita semua mesti sedar bahawa keluar masuk sesebuah kerjasama politik bukan jawapan untuk UMNO pulih.

“Ia bukan jalan keluar yang merawat masalah dan sakit kita. Ia hanyalah satu peralihan dan pemesongan fokus yang sangat bersifat jangka pendek,” katanya.

Perwakilan yang hadir pada Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

Beliau berucap pada majis perasmian serentak perhimpunan sayap Wanita; Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini malam ini.

Sehubungan itu, Mohamad menggesa ahli-ahli UMNO mendukung peranan parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan pandangan yang membina, idea yang bernas dan teguran yang munasabah.

Katanya, hikmah dari teguran yang baik dan bernas akan diterjemahkan menjadi natijah yang juga baik untuk bangsa Melayu dan tanah air Malaysia.

“Sebagai sebuah gerakan kebaikan bangsa, UMNO dan segala pengalamannya mesti mengubah suai dan menambah baik agenda Melayu dengan cara yang strategik dan betul,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast