Oleh: Ismail Hashim Yahaya
LANDSKAP politik Malaysia pada tahun 2026 telah mencapai satu persimpangan jalan yang amat kritikal di mana beban legasi sejarah kini bertembung dengan geseran realiti yang berpaksikan digital. Dalam Simposium Politik Era Digital UMNO yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, wacana yang disampaikan oleh Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Penerangan Datuk Seri Azalina Othman Said memberikan gambaran mendalam tentang sebuah parti yang sedang bergelut
dengan era ‘pasca-normal’.
Tempoh ini, yang didefinisikan oleh sarjana seperti Ziauddin Sardar sebagai satu fasa yang penuh dengan kompleksiti, kekacauan dan percanggahan, menuntut satu transformasi total terhadap cara kuasa politik dibina, diwakili, dan disebarkan. Melalui lensa semiotik dan teori naratif, retorik yang dipaparkan dalam simposium ini mendedahkan satu peralihan strategik yang fundamental: evolusi daripada model penguasaan akar umbi fizikal seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada penubuhan struktur baharu yang lebih dinamik, iaitu ‘JKKK Digital’ misalnya.
Daripada sudut sejarah, kekuatan utama UMNO yang menjadikannya sebuah institusi politik yang dominan selama berdekad-dekad adalah kebijaksanaannya dalam mengendalikan politik mikro melalui JKKK. Dalam istilah semiotik, JKKK berfungsi sebagai ‘penanda’ utama bagi kehadiran dan keprihatinan parti di lapangan. Ia bukan sekadar badan pentadbiran di peringkat kampung bahkan merupakan ejen komunikasi yang menghubungkan naratif pusat secara terus ke dalam urat nadi rakyat.
Kehadiran fizikal, jabat tangan erat dan khidmat bakti pemimpin setempat dalam majlis-majlis komuniti adalah simbol-simbol yang membina kepercayaan dan legitimasi. Bagaimanapun, pengakuan jujur Zahid Hamidi bahawa parti itu kini ‘ketinggalan’ berbanding pesaing digitalnya menunjukkan wujudnya krisis pada simbol tradisi ini.
Dalam era pasca-normal, penanda autoriti politik telah berpindah secara drastik daripada balai raya kepada ruang siber yang tidak bersempadan. Generasi muda tidak lagi menghuni kawasan pilihan raya secara fizikal semata-mata; mereka kini menetap secara kekal dalam ekosistem digital yang dipacu oleh media sosial.
Oleh itu, UMNO kini terpaksa menterjemah fungsi JKKK yang dahulunya berbentuk fizikal kepada satu entiti digital yang sentiasa aktif dalam genggaman telefon pintar setiap pengundi. Peralihan ini didorong oleh kebangkitan algoritma sebagai ‘penjaga pintu’ semiotik yang baharu dalam politik moden. Zahid menekankan bahawa algoritma digital kini memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam membentuk naratif awam berbanding media arus perdana.
Ini bermakna, dalam dunia digital, kebenaran sering kali bersifat sekunder kepada tahap keterlihatan . Jika dahulu keberkesanan JKKK diukur melalui kekerapan program kebajikan di kampung, hari ini peranan ‘JKKK Digital’ mesti diukur melalui keupayaan mencetuskan ketularan atau virality.
Algoritma media sosial tidak menghakimi kualiti moral atau kebenaran sesuatu maklumat; ia hanya menghakimi tahap penglibatan (engagement) seperti jumlah tontonan, perkongsian, dan ulasan. Sekiranya 733 inisiatif kerajaan yang disebut Zahid tidak ‘disentuh’ oleh algoritma, inisiatif tersebut secara efektif dianggap tidak wujud dalam simulasi digital rakyat.
Maka, cadangan Azalina untuk mewujudkan sayap digital yang tetap sebenarnya adalah usaha untuk menginstitusikan ‘ejen akar umbi maya’ yang mampu memanipulasi algoritma secara organik, memastikan naratif parti sentiasa berada di barisan hadapan garis masa media sosial rakyat. Wacana simposium ini mendedahkan pemahaman yang sangat mendalam mengenai teori naratif, terutamanya melalui pemerhatian Zahid bahawa “fitnah yang tersusun akan sentiasa mengalahkan kebenaran yang berselerak”.
Ini adalah ciri utama kondisi politik pasca-normal, di mana koherensi atau keutuhan sesebuah cerita sering kali lebih berkuasa daripada fakta yang kaku namun tidak terurus. Dalam kerangka naratif ini, JKKK Digital memikul tugas berat sebagai penyusun naratif. Jika dahulu ketua JKKK bertindak menjelaskan dasar-dasar kerajaan di kedai kopi atau majlis kenduri, hari ini JKKK Digital harus bertindak sebagai ‘tentera naratif’ yang menjawab keraguan rakyat di dalam kumpulan WhatsApp, Telegram dan TikTok secara masa-nyata.
Untuk terus bertahan dalam arus persaingan ini, parti tidak lagi boleh membiarkan fakta atau kebenaran wujud secara ‘berselerak’ dan pasif. Sebaliknya, kebenaran tersebut mesti disusun, dipakejkan, dan diolah menjadi cerita yang tular serta menyentuh emosi bagi menandingi naratif ”anti-establishment” yang semakin menebal akibat ketidakpastian ekonomi dan sosial. Keperluan untuk penyusunan naratif ini membawa kepada strategi offense atau menyerang yang lebih agresif.
Mantra Zahid bahawa ‘pertahanan terbaik adalah serangan’ menandakan satu perpalingan radikal daripada komunikasi politik yang bersifat defensif dan reaktif. Dalam persekitaran digital yang huru-hara, menunggu untuk menjawab serangan adalah satu bentuk penyerahan wilayah naratif secara sukarela. Melalui struktur seperti JKKK Digital, parti boleh mengamalkan ‘modaliti kausatif’ —iaitu satu strategi komunikasi yang direka untuk membentuk persepsi dan perasaan pengundi secara proaktif sebelum pihak lawan sempat mencelah dengan naratif alternatif.
Dengan membingkai media sosial sebagai teater ‘peperangan psikologi;, UMNO sebenarnya sedang cuba membina semula rangkaian sarafnya yang telah lama terputus daripada golongan muda. Kehadiran sayap digital yang tetap ini bertujuan untuk memastikan setiap calon yang ditonjolkan tidak hanya ‘berwibawa secara politik’ tetapi juga ‘celik media sosial’ iaitu mampu mempakejkan identiti dan perjuangan mereka untuk audiens yang menghargai kepantasan maklumat melebihi sejarah panjang perjuangan fizikal.
Sehubungan itu Azalina menekankan bahawa ramai calon parti mempunyai keupayaan politik yang tinggi, namun gagal kerana tidak mampu dipromosikan dalam tempoh yang singkat di media sosial. Di sini, peranan JKKK Digital menjadi sangat kritikal sebagai ejen penjenamaan. Mereka bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan realiti politik di lapangan dengan persepsi digital. Strategi ‘keluar dari kepompong’ yang diserukan oleh Zahid mencerminkan naratif metamorfosis atau perubahan rupa bentuk parti. ‘Kepompong’ itu mewakili zon selesa dunia lama—interaksi fizikal yang statik dan kitaran berita tradisional yang pernah didominasi oleh UMNO dengan mudah.
Keluar daripadanya bermakna merangkul kecelaruan digital di mana binari “kita lawan mereka” sentiasa diperkukuh oleh algoritma yang memihak kepada kandungan provokatif. Dengan menggesa ahli untuk aktif menyokong kandungan rakan sekutu, kepimpinan UMNO sebenarnya sedang membina satu ‘minda sarang digital’. Ini adalah satu bentuk evolusi kuasa daripada penguasaan tanah kepada penguasaan ruang awan.
Pada tahun 2026, kuasa politik tidak lagi bersifat berpusat di ibu pejabat parti semata-mata, tetapi tersebar dalam tindakan kolektif ribuan ejen digital yang bertindak sebagai node atau titik hubungan di setiap pelusuk ruang maya. Sebagaimana JKKK dahulu menjadi tulang belakang kekuatan organisasi UMNO, JKKK Digital dijangka menjadi sistem sokongan hayat bagi naratif parti di masa hadapan.
Keupayaan untuk mencari pengundi muda di platform seperti Threads, TikTok, X, Instagram, dan YouTube memerlukan pendekatan yang berbeza-beza mengikut semiotik platform tersebut—TikTok untuk naratif visual yang pendek dan pantas, manakala YouTube untuk penceritaan yang lebih mendalam. Sebagai kesimpulan, Simposium Politik Era Digital 2026 menggambarkan bahawa dalam era pasca-normal, garisan antara realiti politik di lapangan dan persepsi digital telah lenyap sepenuhnya.
Apa yang dilihat di skrin kini menjadi realiti tunggal bagi majoriti pengundi. Kebijaksanaan UMNO dalam mengendalikan akar umbi melalui struktur JKKK pada masa lalu kini sedang diuji untuk diterjemahkan ke dalam bentuk digital yang lebih mencabar. Dengan mengutamakan keterlihatan algoritma, menyusun semula kebenaran yang berselerak menjadi naratif yang utuh, dan mewujudkan struktur ‘JKKK Digital’ yang kompetitif, UMNO sedang berusaha keras untuk menuntut semula tempatnya dalam arus perdana politik tanah air.
Kejayaan mereka dalam dekad akan datang tidak lagi bergantung kepada berapa banyak tangan yang berjaya dijabat secara fizikal di kampung-kampung tetapi berapa banyak skrin yang berjaya ditawan oleh naratif mereka. Transformasi daripada sebuah parti warisan kepada sebuah kuasa digital yang tangkas adalah satu-satunya jalan untuk UMNO mengemudi arus kompleksiti, kekacauan, dan percanggahan yang menjadi identiti zaman moden Malaysia. Kenyataan Zahid ini juga menandoakan bahawa pilihan raya akan datang merupakan perang di pentas media sosial dalam politik digital.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa yang meneliti isu-isu semasa melalui pendekatan semiotik dan analisis naratif.
















