KUALA LUMPUR – Sistem pendidikan negara berdepan dilema besar yang memerlukan perhatian serius pihak kerajaan melibatkan isu Sekolah Kurang Murid (SKM) dan Sekolah Sesak Murid (SSM) yang dilihat semakin meruncing.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berpendapat, jika isu mendasar ini tidak selesai, isu lain akan membiak.
“Jadi, pelan tindakan segera diperlukan daripada pihak kerajaan agar tidak mengganggu usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara pada masa hadapan.
“Antara yang akan terjejas adalah kualiti Pengajaran dan Pemudahcaraan (PDPC) serta pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD),” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan terdapat lebih 3,000 sekolah rendah di seluruh negara dikategorikan sebagai SKM iaitu sekolah yang mempunyai kurang daripada 150 murid.
“Ini dilema. Nak tutup SKM ia tidak adil kerana setiap murid mempunyai hak mendapat pendidikan.
“Namun, jika diteruskan dengan jumlah murid yang terlalu sedikit kos pengurusan dan penyelenggaraan serta gaji guru tidak memberikan pulangan yang optimum kepada kerajaan.
“Ada pula sekolah yang hanya mempunyai lima murid tetapi gurunya tujuh orang dengan banyak kelas kosong. Isu ini turut melibatkan sensitiviti politik etnik sekiranya ia melibatkan sekolah aliran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anuar turut membangkitkan isu SSM di kawasan bandar besar dan perbandaran baharu yang menyaksikan kepadatan luar biasa sehingga mencecah 60 murid dalam satu bilik darjah.
“Bilik darjah standard di negara ini hanya sesuai untuk 40 murid. Bayangkan di Saujana Putra seperti yang dilaporkan baru-baru ini, ada kelas mempunyai 60 murid. Bagaimana guru dan murid mahu beraktiviti dengan selesa?” katanya lagi.
Jelasnya, beberapa inisiatif jangka pendek yang dilakukan tetapi masih belum menampakkan hasil yang menyelesaikan sepenuhnya isu SKM.
“Kelas bergabung adalah antara langkah sementara untuk menangani isu SKM. Langkah jangka panjang nampaknya belum ada yang berkesan.
“Berbeza dengan SSM, inisiatif penyelesaian nampaknya lebih konkrit di mana langkah sementara yang sedang berjalan seperti langkah penyuraian murid ke sekolah lain, kelas terapung dan pembinaan kelas menggunakan kontena.
“Bagi solusi jangka Panjang pula, sudah ada cadangan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 untuk melaksanakan dasar supaya pemaju wajib membina sekolah di kawasan perumahan baharu.
“Kerajaan juga sudah bersetuju dan akan memulakan pembinaan sekolah vertikal (bertingkat) di kawasan bandar besar untuk mengatasi isu sekolah sesak murid,” katanya.
Terdahulu, sebanyak 252 sekolah di Perak dikenal pasti sebagai SKM bagi sesi akademik 2026, manakala jumlah murid tahun 1 di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 492 orang bagi sesi persekolahan 2026.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamad Mhtar berkata, 70 daripada sekolah kurang murid merupakan SJKC dan SJKT.
Turut dalam senarai sekolah kurang murid adalah 79 SK serta 12 sekolah kebangsaan Orang Asli melibatkan kesemua 12 daerah di Perak.
Zulkafli berkata, sekolah yang mempunyai kurang daripada 150 murid dikategorikan sebagai SKM ada antaranya beroperasi dengan lima hingga tujuh orang murid sahaja.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Ziauddin Mat Saad pula berkata, tahun ini seramai 19,705 murid memulakan alam persekolahan berbanding 20,197 murid pada tahun lalu.
Penyusutan itu berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor kadar kelahiran yang semakin menurun. -MalaysiaGazette
















