KUALA LUMPUR – Kerajaan mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas terhadap isu penyalahgunaan visa lawatan sosial yang digunakan bagi aktiviti bekerja dan berniaga secara tidak sah.
Sehubungan itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, beliau akan bekerjasama rapat dengan Menteri Dalam Negeri serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan dilaksanakan segera.
Tegasnya, langkah itu penting bagi melindungi Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan peniaga kecil tempatan serta memastikan ekosistem keusahawanan negara kekal teratur dan berdaya saing.
“Berikutan aduan daripada peniaga-peniaga tempatan, saya telah membangkitkan perkara ini dan kerajaan telah mengarahkan agensi-agensi berkaitan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang tegas, termasuk memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti bekerja dan berniaga tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam satu kenyataan
Menurut beliau, Malaysia mengalu-alukan kehadiran pelancong dan pelabur ke negara ini, namun undang-undang dan peraturan negara mesti dipatuhi oleh semua pihak tanpa pengecualian.
Semalam, Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, warga asing yang menyalahgunakan visa pelawat untuk bekerja di negara ini akan digempur pihak berkuasa.
Beliau berkata, perkara itu antara perbincangan dalam Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Langkah itu dilihat sebagai tindakan proaktif kerajaan bagi menangani perbuatan menyalahgunakan visa yang sebelum ini dibangkitkan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan peniaga sendiri. – MalaysiaGazette















