Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr Muralitharan Paramasua (tengah) bersama Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM), Johari Abu Kasim (kiri) dan Ketua Biro Perkilangan, SME Indutri dan Perkhidmatan Halal ACCI, Dr Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil di majlis Menandatangani MoU antara MDA, PERANTIM dan ACCI di MATRADE, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 15 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengorak langkah memperkukuh kerjasama serantau dalam industri peranti perubatan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM) dan Dewan Perdagangan & Industri ASEAN (ACCI), di sini, pagi tadi.

Kerjasama tiga penjuru itu menyasar untuk memudahcara akses dan penembusan produk peranti perubatan keluaran Malaysia ke pasaran ASEAN, selain menyelaras pembangunan ekosistem industri MedTech negara ke tahap lebih kompetitif.

Ketua Pegawai Eksekutif MDA, Dr. Muralitharan Paramasua berkata, MoU tersebut memberi fokus kepada usaha meningkatkan kefahaman mengenai keperluan kawal selia, standard dan keperluan eksport dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), Dr Muralitharan Paramasua

“Matlamat utama MoU ini adalah untuk membantu syarikat berstatus PKS mengeksport peranti perubatan ke pasaran ASEAN. Kita mahu memperjelaskan fungsi regulatori yang perlu difahami dan dipatuhi supaya kapasiti pembuatan mereka memenuhi standard eksport,” katanya.

Menurut beliau, MDA sebelum ini telah menandatangani MoU Reliance Programme yang membolehkan pendaftaran MDA diiktiraf oleh beberapa negara ASEAN termasuk Singapura, Thailand dan Filipina.

“Sebagai contoh, jika proses di Singapura mengambil masa 200 hari, melalui pengiktirafan ini pendaftaran boleh dipercepat bagi melancarkan akses dan penembusan produk ke pasaran ASEAN,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ketua Biro Perkilangan, SME Indutri dan Perkhidmatan Halal ACCI, Dr Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil

Sementara itu, Ketua Biro Perkilangan, SME Industri & Perkhidmatan Halal ACCI, Dr. Siti Ainol Khabtiah Mohd Jamil berkata, kolaborasi strategik ini dijangka merancakkan pembangunan ekosistem inovasi MedTech negara.

“Ia bukan sahaja menggalakkan kerjasama antara syarikat peranti perubatan Malaysia dengan rakan industri di ASEAN, tetapi turut menjadikan sektor ini lebih kompetitif untuk pasaran luar,” jelasnya.

Presiden PERANTIM, Johari Abu Kasim pula menegaskan bahawa produk tempatan dalam segmen peranti perubatan memiliki potensi besar di luar negara berikutan permintaan yang semakin meningkat.

Presiden Persatuan Pengilang-Pengilang Peranti Perubatan Malaysia (PERANTIM), Johari Abu Kasim

“Produk kita berkualiti tinggi dan dipromosikan secara berterusan oleh agensi berkaitan. Pasaran domestik hanya sekitar 36 juta penduduk, tetapi ASEAN dan global memberi skala yang jauh lebih luas dengan 8 bilion populasi. Itu yang kami kejar,” katanya.

Johari berkata, perbincangan bersama MDA dan MATRADE turut menyentuh keperluan menaik taraf kilang-kilang peranti perubatan khususnya bagi produk berteknologi tinggi bagi meningkatkan kapasiti dan prestasi pengeluaran.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di MATRADE dijangka membuka lebih banyak ruang kerjasama komersial, program pameran serta misi perdagangan sebagai platform perluasan pasaran peranti perubatan Malaysia ke seluruh ASEAN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast