Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah (tengah), Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim (tiga dari kanan) bersama barisan rakan strategik industri POLISAS pad gimik perasmian Majlis Peluncuran Tahun Jubli Emas POLISAS.

KUANTAN – Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) mahu mengembangkan tawaran pendidikan ke peringkat ijazah sarjana muda selari dengan pelan pembangunan negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah berkata, perbincangan khusus akan diadakan dengan pihak-pihak terlibat bagi merealisasikan hasrat itu.

“Sudah tentu kita akan lihat kepada program khusus di POLISAS seperti jurusan Teknologi Makanan yang sedia ada. Mungkin kita akan meluaskan tawaran dalam jurusan itu. Kerana buat masa ini hanya disediakan program Diploma,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Peluncuran Tahun Jubli Emas POLISAS hari ini

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Tahun Jubli Emas POLISAS, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah POLISAS, Hisamudin Mohd Tamim.

Sambutan 50 tahun Jubli Emas POLISAS dijangka berlangsung selama lapan bulan dengan pengisian pelbagai program, sehingga acara induknya yang dijangka berlangsung pada bulan Ogos 2026.

Sementara itu, Shamsuri berkata, lebih 60,000 graduan telah dilahirkan sepanjang lima dekad penubuhan POLISAS yang merupakan Politeknik kedua ditubuhkan di negara ini sejak tahun 1976.

“Ada dalam kalangan mereka berkecimpung dalam perniagaan, merupakan penjawat awam, pemain industri dan sebagainya dalam pelbagai bidang.

“Dan sudah tentu ia menepati peranan asal Politeknik ini untuk membekalkan tenaga-tenaga teknikal yang profesional dalam bidang teknikal, perniagaan dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, JPPKK juga mahu melahirkan lebih ramai tenaga kerja dalam bidang-bidang yang berkemahiran seiring dengan kepesatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), New Industrial Master Plan (NIMP) 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Sebagai rekod, sehingga kini terdapat sebanyak 36 buah Politeknik dan 106 Kolej Komuniti di negara ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast