Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 22 MAC 2024.

KUALA LUMPUR – Kekuatan UMNO tidak diukur menerusi jumlah ahlinya yang ini mencecah 3.52 juta.

Sebaliknya, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ngka tersebut perlu dilihat secara realistik kerana setiap ahli tidak semestinya menjadi pengundi, dan pengundi tidak semestinya kekal bersama parti.

Ia terbukti menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini yang mencatat rekod pengundi daripada ahli UMNO hanyalah 144,584 berbanding jumlah keseluruhan 622,637 ahli.

“PRN Sabah menjadi satu ‘wake up call’ terbesar buat kita semua. Kita masuk  gelanggang dengan keyakinan memiliki lebih 622,637 ahli, tetapi undi yang diterima hanyalah 144,584 undi.

“Sejarah politik Sabah mencatat tiga ‘exodus’ gelombang penghijrahan besar-besar, pada 2016 dengan penubuhan Parti Warisan, pada 2018 apabila sebahagian pimpinan menyertai PPBM, dan pada 2023 apabila sebahagian lagi berhijrah ke GRS.

“Setiap gelombang ini telah menghakis kekuatan UMNO, memotong satu demi satu, urat nadi perjuangan UMNO Sabah,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 hari ini.

Menurutnya, UMNO perlu berani menghadapi cabaran penghijrahan politik yang tidak hanya berlaku di Sabah malah seluruh negara.

Jelas beliau, trend penurunan undi bukan berlaku di Sabah sahaja malah dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu PRU13, PRU14 dan PRU15

Justeru jelasnya,  peningkatan 46,655 ahli pada tahun ini masih belum boleh menentukan kemenangan parti itu pada PRN Melaka, Johor dan seterusnya pada PRU-16.

“Statistik di banyak negeri menunjukkan jurang ketara antara jumlah ahli dan undi yang diterima. Sehubungan itu, kesetiaan parti tidak bergantung kepada jumlah ahli semata-mata.

“Kesetiaan hari ini tidak boleh lagi dianggap automatik. Apabila nafsu serakah mengatasi prinsip, apabila kepentingan peribadi mengatasi amanah perjuangan, maka kita akan kehilangan nusrah Allah, walau seramai mana pun kita di atas kertas,” katanya lagi.

Terdahulu Aysraf memaklumkan PAU 2025 kali ini dihadiri oleh 6,412 perwakilan yang merangkumi perwakilan daripada Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sepanjang persidangan bermula dua hari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast