KUALA LUMPUR – Anggaran awalan ekonomi Malaysia berkembang 5.7 peratus pada suku tahun keempat 2025, meningkat lebih tinggi daripada pertumbuhan 5.2 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

Pertumbuhan 5.7 peratus ini adalah tertinggi sejak suku tahun kedua 2024 (ST2 2024: 5.9%).

Bagi keseluruhan tahun 2025 pula, ekonomi Malaysia mengukuh 4.9 peratus iaitu menghampiri pertumbuhan 5.1 peratus pada tahun 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan kukuh ekonomi pada suku tahun keempat 2025 ini dipacu oleh pertumbuhan berterusan sektor perkhidmatan sebanyak 5.4 peratus (ST3 2025: 5.0%), disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong & runcit, pengangkutan & penyimpanan, serta makanan & minuman dan penginapan.

Sementara itu, sektor pembuatan berkembang 6.0 peratus (ST3 2025: 4.1%), terutamanya disokong oleh produk elektrik, elektronik & optikal serta minyak & lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan.

Beliau berkata, pertumbuhan sektor pembinaan kekal kukuh pada 11.9 peratus (ST3 2025: 11.8%), disokong oleh aktiviti yang kukuh dalam bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan pertukangan khas.

Sektor pertanian turut mencatatkan peningkatan ketara kepada 5.1 peratus berbanding pertumbuhan marginal 0.4 peratus pada ST3 2025, terutamanya disebabkan oleh pengeluaran yang pengiraan anggaran KDNK awalan suku tahun keempat 2025 adalah berdasarkan kepada gabungan sumber data yang tersedia.

Secara umumnya, terdapat perbezaan antara anggaran KDNK awalan dan KDNK preliminari disebabkan oleh ketersediaan data dari pelbagai sumber semasa tempoh penyusunan lebih tinggi dalam Kelapa Sawit.

Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Malaysia mencatatkan pengeluaran minyak sawit tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada Oktober 2025.

Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan peningkatan 1.1 peratus (ST3 2025: 9.7%), berikutan pengeluaran yang lebih perlahan dalam minyak mentah dan kondensat.

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi suku tahun keempat 2025 ini juga disokong oleh pengukuhan berterusan permintaan domestik.

“Perkembangan aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti persekolahan, peningkatan perbelanjaan ke atas barangan berkaitan persekolahan susulan perubahan kalendar akademik 2026, perbelanjaan sempena perayaan Deepavali dan Krismas, keadaan pasaran buruh yang stabil dan aktiviti pelaburan yang berterusan menyumbang kepada pengukuhan perbelanjaan isi rumah, walaupun berdepan persekitaran luaran yang tidak menentu,” katanya.

Berdasarkan indikator ekonomi berkaitan, pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) yang kukuh pada Oktober (6.0%) dan November (4.3%) mencerminkan pengukuhan aktitiviti perindustrian, khususnya dalam sektor pembuatan yang berkembang 6.5 peratus pada Oktober dan 4.9 peratus pada November dipacu oleh prestasi industri berorientasikan eksport.

Sementara itu, sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan 5.8 peratus pada Oktober dan menyederhana 2.3 peratus pada November.

Sektor perdagangan borong dan runcit mencatatkan pertumbuhan jualan yang kukuh masing-masing sebanyak 7.2 peratus pada Oktober dan 6.4 peratus pada November, mencerminkan daya tahan permintaan domestik meskipun berdepan tekanan kos sara hidup dan ketidaktentuan luaran.

Subsektor perdagangan borong mencatat pertumbuhan positif pada November dengan jualan meningkat 6.0 peratus manakala subsektor perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.4 peratus pada bulan yang sama.

Aktiviti pembayaran digital terus mengukuh pada bulan November dengan transaksi e-money meningkat 66.9 peratus kepada RM27.0 bilion, manakala transaksi melalui Real-time Retail Payments Platform (RPP) mencecah RM322.6 bilion.

Transaksi Financial Process Exchange (FPX) pula meningkat 20.4 peratus kepada RM41.5 bilion, disokong oleh pertumbuhan sederhana dalam transaksi kad kredit dan kad debit masing-masing sebanyak 6.9 peratus dan 6.8 peratus.

Eksport mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 15.7 peratus pada Oktober sebelum menyederhana kepada 7.0 peratus pada November 2025.

Dalam tempoh yang sama, import meningkat daripada 10.0 peratus pada Oktober kepada 15.8 peratus pada November.

Seiring dengan perkembangan ini, jumlah dagangan Malaysia kekal mencatat pertumbuhan dua digit, masing-masing sebanyak 13.0 peratus pada Oktober dan 11.1 peratus pada November 2025.

Ekonomi Malaysia dianggarkan berkembang 4.9 peratus pada 2025, berbanding 5.1 peratus pada tahun sebelumnya, dengan semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif.

Sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan 5.1 peratus pada 2025, disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam setiap subsektor,
berbanding 5.3 peratus pada 2024.

Manakala sektor embuatan terus mencatatkan pertumbuhan stabil pada 4.5 peratus (2024: 4.2%).

Selain itu, sektor pembinaan mengekalkan pertumbuhan dua angka pada 12.4 peratus pada 2025, berbanding 17.5 peratus pada tahun lalu dan sektor pertanian menyederhana kepada 2.2 peratus (2024: 3.1%) manakala sektor perlombongan & pengkuarian mencatatkan pertumbuhan marginal 0.5 peratus (2024: 0.9%). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast