PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menerajui pendekatan reverse investment (pelaburan berbalik) mulai 2026 sebagai langkah strategik bagi melindungi dan menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara, selari dengan cabaran global semasa.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan tidak lagi boleh bergerak secara reaktif dan berorientasikan jangka pendek, sebaliknya perlu melaksanakan langkah mitigasi yang lebih menyeluruh bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan negara.
Menurut beliau, pendekatan itu akan memberi tumpuan kepada industri utama termasuk ruminan (lembu), beras, susu serta pembangunan benih dan baka, yang dikenal pasti sebagai komponen penting rantaian makanan dan tidak wajar terdedah kepada gangguan bekalan global.
“Berasaskan realiti semasa, kerajaan perlu melaksanakan langkah mitigasi yang strategik. Sehubungan itu, bagi tahun 2026, kementerian akan menerajui pendekatan Reverse Investment untuk melindungi dan menjamin bekalan komoditi makanan kritikal negara,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Wisma Tani, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata KPKM mengalu-alukan pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebagai rakan strategik bagi membina pegangan nasional dalam rantaian bekalan kritikal.
“Pembabitan GLC dan GLIC amat penting untuk memperkukuh kedaulatan makanan negara serta memastikan daya tahan sistem makanan Malaysia dapat dipertahankan dalam jangka panjang,” katanya.
Beliau menegaskan, pelaksanaan pelaburan berbalik itu bukan bertujuan menggantikan peranan petani tempatan, sebaliknya berfungsi sebagai penampan strategik bagi memastikan kestabilan rantaian bekalan ketika berlakunya kejutan luar jangka.
“Setiap pelaburan akan dilaksanakan secara berfasa, berhemah dan berpaksikan kepentingan nasional,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, kementerian turut menumpukan pemerkasaan pelaburan domestik sebagai pelengkap utama bagi meningkatkan kapasiti dan daya saing sektor agromakanan negara, dengan lima fokus strategik dikenal pasti.
Lima fokus tersebut merangkumi pembangunan industri akuakultur, pemanfaatan Sistem Maklumat Geografi (GIS) di peringkat pengeluaran, pengeluaran jagung bijian, peningkatan tanaman nanas serta pembangunan pengeluaran benih dan baka tempatan.
Sementara itu, Isham berkata pelaburan berbalik dilaksanakan sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku gangguan bekalan atau bencana.
“Sebagai contoh, penanaman padi di luar negara membolehkan bekalan diimport semula melalui syarikat Malaysia sekiranya berlaku malapetaka atau gangguan luar jangka,” katanya. – MalaysiaGazette
















