KUALA LUMPUR – Dua pelajar Universiti HELP yang cedera susulan insiden letupan gas sistem penghawa dingin di kampus universiti di Bukit Damansara, di sini, Isnin lepas masih menerima rawatan di hospital.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seorang pelajar perempuan berusia 19 tahun, Reeya Kaur Thandal kini dirawat di High Dependency Ward (HDW) Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut beliau, setakat hari ini, mangsa masih belum sedarkan diri dan berada di bawah pemantauan rapi pihak perubatan selepas mengalami koma, pendarahan dalam otak serta retak tengkorak.
Dalam kejadian sama, seorang lagi pelajar, Lya Izryn Irazeqh, 18, yang mengalami kecederaan patah pinggang juga masih menjalani rawatan susulan di Hospital Pantai Kuala Lumpur.
Katanya, mangsa dibenarkan keluar dari HKL pada 13 Januari lalu sebelum mendapatkan rawatan lanjut di hospital berkenaan pada hari yang sama.
“Mangsa telah selesai menjalani pembedahan gigi pada 15 Januari lalu. Mangsa dijadualkan menjalani pembedahan pinggang pada 17 Januari 2026 pukul 2 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Datuk Fadil turut memaklumkan seorang penyelia, Liew Ying Chen, 54, yang mengalami kecederaan melecur sebanyak 24 peratus serta serpihan besi dalam badan masih menerima rawatan di HKL.
Beliau berkata, mangsa telah sedar dan berada di bawah pemantauan rapi doktor.
Sementara itu, seorang pekerja kantin universiti berkenaan, Muhammad Rizki Rudi Hartono, 22, telah dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh pada 15 Januari lalu kira-kira 2 petang dan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Isnin lalu, seorang pelajar lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan individu lain cedera.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, pelajar tahun ketiga Kejuruteraan Mekanikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang sedang menjalani latihan industri di universiti swasta berkenaan.
“Sebarang perkembangan lanjut berkaitan insiden ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















