Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim (tengah) bergambar dengan pemimpin komuniti Kampung Jerantut Feri selepas Majlis Perasmian Penyerahan Kampung Angkat MADANI semalam.

JERANTUT – Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyerahkan Program Kampung Angkat MADANI Kampung Jerantut Feri kepada komuniti Jerantut Feri semalam.

Ia susulan pelaksanaan sepenuhnya kerja-kerja penaiktarafan kampung dan projek fizikal di kampung itu yang bernilai RM1 juta.

Menerusi kenyataannya, JWP memaklumkan bahawa semua projek fizikal yang disempurnakan merangkumi naik taraf balai raya, dewan, tandas awam, gelanggang futsal, padang bola dan trek riadah, pembinaan pondok dan balai komuniti, pembaikan jalan kampung, penyelenggaraan fasiliti sekolah serta pemasangan lampu solar di beberapa lokasi strategik termasuk Simpang Kampung Paya Gunung.

“Pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI JWP 2025 di Kampung Jerantut Feri telah berjaya disempurnakan sepenuhnya apabila semua kerja-kerja penaiktarafan kampung di bawah program berkenaan mencapai tahap siap 100 peratus.

“Ianya khusus bagi meningkatkan kualiti hidup kira-kira 4,000 penduduk Kampung Jerantut Feri.

“Kejayaan ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan yang inklusif, berimpak tinggi dan berfokuskanmkesejahteraan rakyat sejajar dengan pendekatan Whole of Government (WoG) yang mengutamakan penyampaian berkesan di peringkat akar umbi,” katanya.

Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penyerahan Kampung Angkat MADANI Jerantut Feri semalam

Penyerahan telah disempurnakan Ketua Pengarah JWP, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim bertempat di Dewan Serbaguna, Kampung Jerantut Feri, di sini.

Selain pembangunan infrastruktur, pelaksanaan Kampung Angkat MADANI JWP di Kampung Jerantut Feri turut memberi penekanan kepada pembangunan komuniti dan pemerkasaan sosial selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI yang menekankan kemampanan, kesejahteraan dan ihsan.

“Antara program yang telah dilaksanakan termasuk Program Temu Mesra Kampung Angkat MADANI, Program Jom Imarah@ Masjid Jerantut Feri, bengkel fotografi dan media sosial, kelas asas pertanian serta beberapa siri gotong-royong melibatkan Program Pengindahan Kawasan Sungai Pahang Siri 1 dan Siri 2 serta Program Gotong-Royong Masyarakat Pasar Klasik yang berteraskan ekonomi dan budaya setempat,” tambahnya.

Pemilihan Kampung Jerantut Feri sebagai salah satu daripada 200 kampung terpilih di seluruh negara bagi pelaksanaan Kampung Angkat MADANI 2025 turut memperkukuh kesinambungan Program Santuni MADANI yang telah dilaksanakan oleh JWP di kampung sama pada tahun 2024.

JWP dalam kenyataannya turut berharap kejayaan itu dapat menjadikan Kampung Jerantut Feri sebagai model Kampung Angkat MADANI, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup rakyat, pengukuhan perpaduan komuniti, pengurangan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar serta pengukuhan kefahaman rakyat terhadap peranan kerajaan di peringkat akar umbi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast