[GAMBAR FAIL] Penerima Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mengambil peluang untuk berbelanja selepas ianya mula disalurkan bermula hari ini, di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 31 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Kadar perbelanjaan hampir 100 peratus bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun lepas termasuk di kawasan luar bandar membuktikan keberkesanan mekanisme bantuan tersebut.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan Kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, kerajaan kekal komited untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat menerusi inisiatif seperti SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Katanya, bagi memudahkan penerima kerajaan mensasarkan peningkatan penglibatan 10,000 kedai runcit kecil dalam program SARA menjelang akhir 2026 berbanding 3,000 tahun lepas.

Langkah itu juga dapat membantu merangsang ekonomi setempat serta menyokong perniagaan kecil dan sederhana.

“Pendekatan bantuan dan subsidi yang lebih bersasar terus memberi sokongan kepada kuasa beli golongan yang memerlukan,” katanya semasa taklimat media hari ini.

Tambahnya, pada tahun ini kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi meneruskan pelaksanaan SARA dan STR.

Ia merupakan peruntukan tertinggi setakat ini yang akan memanfaatkan sekitar 9 juta penerima.

Dalam pada itu, selari dengan usaha menyokong kesejahteraan isi rumah, landskap ekonomi makro negara turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila kadar pengangguran negara kini berada pada paras terendah dalam tempoh 11 tahun, iaitu 2.9 peratus.

Perkembangan tersebut katanya, memberi isyarat positif terhadap kedudukan pasaran pekerjaan serta keupayaan ekonomi untuk terus menyokong peluang pendapatan rakyat.

Selain itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengumumkan Anggaran Awalan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Suku Keempat 2025 berkembang sebanyak 5.7 peratus.

Ia sekali gus membawa pertumbuhan keseluruhan tahun 2025 kepada sekitar 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi Kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.

“Dalam persekitaran global yang mencabar, termasuk tekanan luaran terhadap perdagangan, langkah-langkah penyesuaian dasar serta pembaharuan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan telah membantu mengekalkan kestabilan ekonomi domestik dan melindungi kepentingan rakyat,” ujar beliau lagi.

Di samping itu, pengukuhan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan antarabangsa turut menyumbang kepada keyakinan pelabur serta kesinambungan aktiviti perdagangan dan pelaburan.

“Insya-Allah, kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi asas kepada pengurusan ekonomi negara, dengan penekanan kepada pertumbuhan yang seimbang, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,” katanya. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast