KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah berjaya mengesan seorang individu yang mengunakan
kad pengenalan palsu dalam urusan pemerbadanan syarikat, susulan siasatan di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 iaitu membenarkan pernyataan palsu dalam dokumen berkanunnya.
Siasatan telah dimulakan selepas aduan rasmi yang diterima daripada seorang pengadu yang mendakwa nombor kad pengenalan miliknya telah disalahgunakan dan didaftarkan sebagai pengarah serta pemegang syer bagi empat syarikat dan sebuah perniagaaan tanpa pengetahuan dan kebenarannya.
SSM dalam kenyataan berkata, hasil semakan dan risikan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan yang dimiliki oleh suspek disyaki palsu kerana nombor kad pengenalan digunakan adalah sama dengan nombor kad pengenalan dimiliki pengadu walaupun butiran peribadi adalah berbeza.
Pada 8 Januari, suspek telah diminta hadir ke Menara SSM@Sentral bagi proses rakaman percakapan oleh SSM.
Selain itu, proses pengesahan cap jari turut dijalankan oleh pihak JPN dan hasil semakan mendapati kad pengenalan suspek adalah palsu.
Suspek kemudiannya telah diserahkan kepada pihak JPN untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa pihak berkenaan.
SSM ingin mengingatkan orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan yang palsu atau mengelirukan kepada SSM.
SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping
memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti, katanya. – MalaysiaGazette















