Dr Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh tidak kisah diberi apa juga julukan atau label diberi kepadanya.

Baginya yang penting beliau memperjuangkan penyatuan orang Melayu daripada suara akar umbi.

Beliau berkata, apa juga label yang dilemparkan kepadanya, tetapi fokus utamanya bukan untuk menjadi proksi mana-mana individu sebaliknya menjadi jambatan kepada penyatuan ummah.

“Apa orang tak kata pada saya, ejen H2O (Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien), ejen KJ (Khairy Jamaludin), ejen Perikatan Nasional (PN) atau pun ejen Pas.

“Saya nak kata, semua itu benar. Memang saya ejen tapi yang paling penting sekali ialah saya adalah ejen penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Kita semua tahu, kita (Melayu) dah lama berpisah, lama bergaduh. Cukuplah. Apabila orang Melayu yang majoriti ini berpecah, ada parti sana, parti sini akhirnya kuasa politik kita semakin terhakis.

“Bila terhakis, ada pihak lain yang mengambil kesempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi program SKOP MG.

Beliau turut mengakui namanya sering dikaitkan dengan pelbagai tokoh dan naratif politik yang bertentangan dengan arus perdana kepimpinan parti ketika ini.

“Kalau saya hanya memikirkan kepentingan diri dan mahu menang besar dalam pilihan raya akan datang, adalah lebih mudah bagi saya untuk menjilat dan berbaik-baik dengan DAP bagi mendapatkan undi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Kalaulah campur undi BN dan PH di Jasin, sudah tentu saya akan menang besar.

“Tapi ini bukan soal saya. Ini soal penyatuan orang Islam dan Melayu yang lebih penting daripada insan bernama Dr Akmal Saleh,” katanya lagi.

Dr Muhamad Akmal yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau berkata, kelantangannya dalam isu-isu melibatkan kepentingan Melayu-Islam bukan satu lakonan atau retorik bermusim.

“Orang mungkin boleh cakap saya retorik, tapi saya konsisten daripada hari pertama sampai hari ini. Setiap perkara yang saya bangkitkan, it’s all about Melayu dan Islam.

“Saya tak pernah cuit bangsa lain melainkan mereka cuit saya dulu.

“Saya tidak akan biarkan maruah agama dan bangsa kita dipermainkan hanya kerana mahu menjaga hati pihak tertentu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast