KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) menggesa agar wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan, dibebaskan segera memandangkan beliau telah membuat permohonan maaf secara terbuka, meletakkan jawatan serta menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Menurut MMM, dalam keadaan tersebut, tindakan penahanan dan penangkapan terhadap Rex Tan dilihat tidak perlu dan seolah-olah bersifat menghukum, sedangkan beliau telah mengambil tanggungjawab penuh atas tindakannya.
Kes ini, kata MMM, menimbulkan persoalan serius mengenai risiko yang dihadapi oleh pengamal media di negara ini, khususnya sama ada seorang wartawan boleh dianggap melakukan perbuatan menghasut atau mengganggu ketenteraman awam hanya dengan mengemukakan soalan dalam sebuah forum awam.
“Insiden berkenaan mendedahkan cabaran kerjaya dan undang-undang yang dihadapi wartawan di Malaysia, termasuk kemungkinan disiasat, ditahan dan dikenakan pelbagai bentuk hukuman ketika melaksanakan tanggungjawab kewartawanan.
“Risiko seperti ini bukan sahaja memberi tekanan psikologi dan profesional yang berat, malah boleh menjejaskan keupayaan wartawan untuk bekerja secara bebas dan selamat,” menurut kenyataan itu.
MMM turut memberi amaran tindakan keras dan bersifat menghukum terhadap wartawan boleh mewujudkan kesan penegahan atau chilling effect terhadap industri media serta perbincangan awam, sekali gus mencemarkan imej kerajaan yang sebelum ini berulang kali menyatakan komitmen untuk mempertahankan kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar.
Sehubungan itu, MMM menggesa pihak polis dan kerajaan agar tidak bertindak tergesa-gesa, sebaliknya mengambil pendekatan yang lebih adil dan bersesuaian dalam menangani isu seumpama ini.
“Tindakan yang diambil tidak seharusnya menggugat profesion kewartawanan, kebebasan akhbar serta keselamatan wartawan dan pengamal media di negara ini,” tegas MMM.
Terdahulu, MMM dalam kenyataan berasingan mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk pendedahan maklumat peribadi, gangguan, ugutan dan ancaman terhadap wartawan.
MMM berkata, pihaknya mengambil maklum permohonan maaf terbuka serta penjelasan yang dikeluarkan oleh FMT susulan semakan dalaman berhubung isu yang melibatkan salah seorang wartawannya.
Ujar MMM, pihaknya mengiktiraf langkah diambil oleh organisasi berita berkenaan untuk menangani isu yang berlaku dan memikul pertanggungjawaban secara terbuka, selaras dengan prinsip ketelusan serta tanggungjawab editorial.
Katanya lagi, tindakan seperti mendedahkan maklumat peribadi dan ugutan bukan sahaja meletakkan pengamal media dalam keadaan berisiko malah, mencabul privasi, keselamatan serta hak asasi mereka sekali gus menjejaskan peranan asas kewartawanan dalam masyarakat demokratik. – MalaysiaGazette
MMM kecam dedah maklumat peribadi wartawan, hargai permohonan maaf FMT
















