KUALA LUMPUR – Pelakon Nadia Kesuma yang kini dilaporkan tidak dapat dikesan di Arab Saudi, disahkan sudah meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah (Lapangan Terbang Antabangsa Raja Abdulaziz).
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, maklumat itu diperoleh hasil semakan rekod pergerakan keluar masuk imigresen Arab Saudi selepas usaha pengesanan dilakukan melibatkan pelbagai pihak termasuk Konsulat Malaysia.
Katanya, berdasarkan maklumat berkenaan, satu laporan polis akan dibuat mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
“Saya semalam sudah berhubung dua atau tiga kali dengan pihak Konsulat untuk pencariannya dan kita juga cuba buat laporan polis tapi polis tempatan tetapkan prosedur operasi standard (SOP) tunggu 20 jam selepas itu baru boleh dikategorikan sebagai orang hilang.
“Saya juga sudah arahkan pejabat Konsulat untuk melakukan yang terbaik dan pada masa sama, syarikat pengendali umrah tidak boleh lepas tangan begitu sahaja, mesti bertanggungjawab kerana dengan siapa dia pergi atau bawa semua perlu ditanya. Ini kerana dia (Nadia Kesuma) pergi dengan rombongan,” katanya.

Mohamad berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama pengamal media di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Tambah Mohamad, beliau yakin polis Arab Saudi akan membantu mengesan Nadia Kesuma berdasarkan kecekapan mereka, dan meminta ahli keluarga mangsa agar sentiasa bersabar untuk perkembangan semasa.
Nadia dilaporkan gagal dihubungi selepas perjalanan dari Kuala Lumpur ke London dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Arab Saudi, Khamis lalu.
Situasi itu mendorong suami pelakon berkenaan merayu campur tangan kerajaan bagi mempercepatkan usaha pengesanan melalui saluran diplomatik.
Suaminya, Prof Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah berkata, keadaan tersebut memerlukan tindakan segera dan sokongan pihak berkuasa bagi menjejaki keberadaan isterinya yang masih tidak diketahui.
Kata Kamarul, pihaknya sudah membuat laporan kepada Wisma Putra serta Konsulat Malaysia di Jeddah dan menerima kerjasama serta panduan berterusan daripada kedua-dua pihak berkenaan.
Difahamkan, Nadia memang gemar mengembara dan lazimnya memaklumkan pergerakannya kepada keluarga setiap kali tiba di sesebuah negara, namun kali ini komunikasi terputus tanpa sebarang makluman awal. – MalaysiaGazette
Usaha mengesan warga Malaysia hilang di Jeddah masih diteruskan
















