Azam Baki

KUALA LUMPUR – Persepsi terhadap integriti sesebuah institusi tidak boleh dibiarkan berlarutan atau dipandang remeh kerana kesannya boleh menjejaskan kepercayaan awam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu persepsi perlu ditangani dengan pantas dan berkesan sebelum ia memberi implikasi lebih besar.

“Kita jangan duduk di alam lain, kita kena tahu tentang realiti. Siapa kata persepsi ini boleh kita tahan? Kita tidak dapat menghalang orang ramai daripada mempunyai persepsi sama ada negatif atau positif.

“Ini yang berlaku sekarang, yang penting ialah bagaimana kita menangani… berapa cepatnya kita menjawab perkara ini, “katanya.

Tambah beliau, dalam era media sosial dan penyebaran maklumat tanpa sempadan, persepsi awam terbentuk dengan cepat dan sukar dikawal sekiranya tidak ditangani secara proaktif.

“Kalau persepsi yang kritikal dan tidak menjawabnya orang akan percaya dalam tempoh 24 jam, sebab itu kita kena cepat dan dalam hal ini saya berterima kasih kepada Bahagian Komunikasi Strategik (BKS) SPRM dalam menangani persepsi,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah BKS SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, SPRM antara agensi kerajaan yang sering menjadi sasaran dan tumpuan masyarakat.

“Pelbagai persepsi pasti datang apabila SPRM bertindak menjalankan tugas.

“Untuk itu, BKS senantiasa memastikan setiap isu dan persepsi yang berlaku di SPRM dapat ditangani dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, ini kerana semua adalah bukti kerjasama erat setiap bahagian dan negeri di SPRM dalam usaha menangani persepsi tersebut berdasarkan panduan dan arahan berterusan pengurusan tertinggi SPRM.

Terdahulu media melaporkan, Kementerian Komunikasi akan terus berusaha memperkasakan komunikasi kerajaan bagi memastikan segala maklumat berkaitan dasar, program dan bantuan kerajaan dapat disampaikan secara jelas, tepat dan mudah difahami oleh rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast