KUALA LUMPUR – Penubuhan Rumah Bangsa anjuran UMNO tidak berniat untuk menyaingi Payung Besar yang dipelopori bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata, ia kerana Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu itu dilihat gagal menyatupadukan orang Melayu dan Islam.
“Sebelum ini, banyak terdapat usaha mungkin kadang-kala tak kesampaian, sebab itu hari ini kita bertekad (tubuhkan Rumah Bangsa), parti keramat UMNO memang bertunjang dan berteraskan perjuangan Melayu.
“Sebab itu kitalah yang akan menyatupadukan dan Insya-Allah saya yakin perkara ini dapat dilaksanakan dengan niat baik.
“Ia bukan untuk menang pilihan raya, sebaliknya jauh lebih penting daripada itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di sini hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa ucapan dasarnya mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima penyertaan semula ahli-ahli parti dan yang belum menjadi ahli parti atau yang telah meninggalkan parti untuk diterima menjadi ahli-ahli UMNO.
Ahmad Zahid juga mencadangkan penubuhan Musyawarah Nasional bagi mengurus selia dan membincang agenda politik Melayu yang menyentuh soal kedudukan agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan anak-anak bangsa.
Khairul Azman juga berkata, konsep Rumah Bangsa sebenarnya pernah dipelopori UMNO untuk menyatupadukan orang Melayu ketika menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
“Itulah tanggungjawab UMNO pada waktu dulu yang mana kita nak menentang Malayan Union dan waktu itu Melayu pun tidaklah begitu bersatu lagi, berpecah mengikut kenegerian dan sebagainya.
“Kita berjaya satukan dan Insya-Allah kita pada hari ini akan memastikan Melayu disatukan dan semestinya memayungi semua bangsa lain tanpa meninggalkan bangsa ataupun kaum pun.
“Kita nak pastikan kita bela, jaga nasib mereka seperti mana UMNO dan Barisan Nasional lakukan sepanjang kita menjadi kerajaan penuh sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















