Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – UMNO menegaskan sebarang dakwaan salah guna kuasa melibatkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu ditangani secara terbuka dan berlandaskan undang-undang bagi memastikan kepercayaan awam terhadap institusi pertahanan negara terus terpelihara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan siasatan dan penahanan terhadap individu tertentu dalam ATM menunjukkan mekanisme kawalan dan akauntabiliti sedang berfungsi bukan mencerminkan kelemahan sistem ketenteraan negara.

Menurut beliau yang juga Menteri Pertahanan, ATM kekal sebagai institusi strategik yang mempertahankan kedaulatan negara dan tidak wajar dilabel secara menyeluruh hanya berdasarkan kes terpencil yang sedang disiasat.

“Integriti ratusan ribu anggota ATM yang berkhidmat dengan penuh disiplin dan pengorbanan tidak boleh dipadamkan oleh perbuatan segelintir individu yang mengkhianati amanah,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2025.

Tegasnya, pendirian UMNO tiada kompromi akan diberikan terhadap rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa dalam mana-mana institusi keselamatan termasuk ATM dan mereka yang didapati bersalah perlu berdepan proses perundangan.

Beberapa siasatan melibatkan pegawai kanan ATM sebelum ini telah mencetuskan perbincangan awam mengenai tahap integriti pasukan keselamatan, namun Mohamed Khaled berkata, perkara itu perlu dilihat dalam konteks penguatkuasaan bukan kegagalan institusi.

Pada masa sama, beliau memberi jaminan kebajikan veteran ATM terus menjadi keutamaan kerajaan, dengan beberapa inisiatif baharu sedang dirangka bagi memastikan bekas anggota tidak terpinggir selepas menamatkan perkhidmatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast