KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan kembali berpengaruh sekiranya sokongan orang Melayu terus dipacu oleh emosi, sentimen dan persepsi semata-mata, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Berucap ketika menggulung Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini, beliau berkata, walaupun perhimpunan kali ini sarat dengan saranan, idea dan kritikan membina namun tidak mencukupi tanpa perubahan sikap dalam kalangan orang Melayu sendiri.
“Jika UMNO cuba melaksanakan semua saranan yang dikemukakan perwakilan sekalipun, UMNO masih tidak mungkin kembali berpengaruh jika orang Melayu tidak terbuka untuk menerimanya,” katanya.
Menurut Khaled, masa depan dan kepentingan orang Melayu dalam sebuah negara yang semakin moden hanya boleh dijamin melalui politik yang sederhana, pragmatik, strategik serta berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan, politik beremosi dan terlalu dramatik tidak akan membawa bangsa Melayu ke mana-mana, sebaliknya hanya melemahkan keupayaan politik orang Melayu dalam jangka panjang.
“Kini sentimen dan persepsi telah menjadi politik arus perdana atas alasan perjuangan Melayu dan Islam, sedangkan data, keberhasilan serta pencapaian hasil kerja keras parti dan kerajaan diketepikan,” ujarnya.
Tambah beliau, sentimen berkenaan telah dieksploitasi secara berlebihan sehingga hampir semua isu dipolitikkan atas garis kaum dan agama, sekali gus menjejaskan penilaian rasional terhadap prestasi sebenar UMNO dan Kerajaan Perpaduan.
Mengulas kedudukan UMNO dalam kerajaan ketika ini, Mohamed Khaled menegaskan, parti itu tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebaik mungkin dalam semua perkara berkaitan Melayu, Bumiputera dan Islam walaupun bukan peneraju utama pentadbiran.
“Orang Melayu wajar lebih munasabah, lebih pragmatik dan lebih berimbang dalam menilai UMNO dan Kerajaan Perpaduan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang Melayu supaya tidak menyandarkan masa depan Malaysia dan bangsa Melayu kepada emosi, ketaksuban serta perasaan marah dan kebencian yang berterusan.
“Kita perlu menilai UMNO dan ikhtiarnya untuk orang Melayu secara rasional, bukan berasaskan prasangka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menegaskan, orang Melayu perlu terus meyakini UMNO sebagai wakil politik sebenar bangsa Melayu, dengan sumbangan parti itu terbukti sejak sebelum kemerdekaan sehingga terbentuknya Malaysia hari ini.
“Benar, UMNO ada ketikanya khilaf dan tersasar tetapi cukuplah hukuman orang Melayu terhadap UMNO,” katanya.
Tegasnya, hanya dengan kepercayaan orang Melayu, UMNO mampu pulih dan kembali menjadi parti Melayu yang kuat serta wakil yang berkesan dalam percaturan politik negara.
Mohamed Khaled turut memberi jaminan UMNO tidak akan menjadi boneka politik mana-mana pihak dan perlu disokong supaya kekal mandiri sebagai entiti politik Melayu dan Malaysia.
“Dengan kepercayaan bangsa Melayu, UMNO akan kembali menjadi pemain strategik dan kingmaker yang diperlukan dalam apa jua keadaan politik,” katanya lagi.
Beliau menambah, matlamat UMNO adalah memastikan tiada kerajaan dapat dibentuk tanpa penglibatan parti itu selain berperanan sebagai kuasa penstabil dalam landskap politik negara.
“Pendek kata, Malaysia tidak boleh berfungsi tanpa UMNO sebagai nafas dan nalurinya,” ujarnya. – MalaysiaGazette















