Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan, Datuk Mohd Noor bin Ahmad menyampaikan perbahasan pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – UMNO Pulau Pinang menggesa sebarang cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan kawasan Parlimen majoriti Melayu tidak terus terhakis akibat pembangunan tidak terkawal.

Jurucakap wakil Pulau Pinang, Mohd Noor Ahmad berkata, pengalaman negeri itu sejak UMNO dan Barisan Nasional (BN) kehilangan kuasa pada 2008 menunjukkan pembangunan pesat tanpa kawalan telah mengubah komposisi demografi.

Keadaan ini, dakwanya, telah menjejaskan representasi Melayu di beberapa kawasan strategik.

“Bayan Baru suatu ketika dahulu dikenali sebagai Parlimen Melayu, malah masih diwakili wakil rakyat Melayu sehingga 2008.

“Hari ini, status itu semakin terhakis akibat pembangunan yang tidak terkawal,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO.

Menurutnya, trend sama turut berlaku di beberapa kawasan lain termasuk Kepala Batas, Tasek Gelugor, Balik Pulau, Permatang Pauh dan Nibong Tebal yang berisiko kehilangan identiti sebagai kawasan Parlimen Melayu sekiranya isu tersebut tidak ditangani secara serius.

Sehubungan itu, Mohd Noor menegaskan UMNO perlu memainkan peranan tegas dalam Kerajaan Perpaduan dengan menolak sebarang persempadanan semula yang hanya menguntungkan kawasan bukan Melayu, sehingga menambah representasi pihak tertentu dalam Parlimen.

“Jika tidak mampu menjamin pertambahan atau sekurang-kurangnya pemeliharaan kawasan Parlimen Melayu, UMNO wajar menolak cadangan persempadanan semula di bawah kerangka Rumah Besar Bangsa,” tegasnya.

Mengulas kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, beliau menolak dakwaan kononnya UMNO hanya menjadi ‘melukut di tepi gantang’ kerana memiliki 26 Ahli Parlimen.

Katanya, pengaruh UMNO tidak boleh diukur semata-mata melalui bilangan kerusi, sebaliknya melalui keupayaan parti itu mempengaruhi dasar dan keputusan kerajaan.

“Penangguhan cadangan Pembaharuan Semula Bandar (URA), kegagalan mengiktiraf UEC dan penolakan cadangan pilihan raya PBT membuktikan keberadaan UMNO dalam kerajaan memberi kesan langsung dalam mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam,” katanya lagi.

Di Pulau Pinang, beliau berkata penglibatan pemimpin UMNO dalam agensi kerajaan turut memberi impak nyata, termasuk usaha membangunkan tanah wakaf di kawasan bandar bagi mengembalikan penempatan Melayu dan mengekalkan status Parlimen Melayu.

Dalam isu pendidikan pula, Mohd Noor menegaskan UMNO perlu memperjuangkan perlindungan undang-undang kepada guru bagi melaksanakan tugas hakiki tanpa tekanan atau ancaman tindakan sivil.

Beliau berkata pendakwaan terhadap guru yang bertindak melampaui peraturan telah mewujudkan ketakutan dalam kalangan pendidik sehingga menjejaskan disiplin dan proses pendidikan di sekolah.

“Guru hari ini berdepan risiko tindakan undang-undang, termasuk surat tuntutan, walaupun ketika menjalankan tugas. Ini mewujudkan fobia dan melemahkan autoriti guru,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kuasa hukuman rotan dikembalikan kepada guru dengan jaminan perlindungan perundangan yang jelas, sama ada melalui penggubalan undang-undang khusus atau penambahbaikan kerangka sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Mohd Noor turut mengingatkan keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan berperanan sebagai benteng kepentingan Melayu-Islam, merujuk kepada beberapa isu sensitif di Pulau Pinang yang berjaya ditangguhkan susulan bantahan penduduk dan campur tangan UMNO.

Beliau menegaskan,  Presiden UMNO selaku timbalan perdana menteri perlu terus menggunakan kedudukan dalam kerajaan bagi mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu, institusi Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.

Pada akhir ucapan, Mohd Noor menzahirkan sokongan penuh Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang kepada kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast