MELAKA – Seorang warga emas maut selepas dirempuh sebuah bas ekspres ketika sedang melintas jalan di Jalan Melaka Sentral, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima makluman kejadian menimpa lelaki berusia 65 tahun itu pada jam 3.21 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang ketika bas ekspres dari Singapura itu memasuki laluan ke Terminal Bas Melaka Sentral menuju ke kawasan parkir.
“Bas tersebut dilaporkan berhenti berhampiran lintasan pejalan kaki, namun ketika ia mula bergerak, mangsa yang berada berhampiran dan sedang cuba melintas telah dirempuh.
“Pelanggaran mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Christopher berkata, mangsa lelaki tempatan beralamat di Pantai Peringgit tidak bekerja, manakala pemandu lelaki berusia 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap pemandu bas didapati negatif bahan terlarang selain semakan mendapati pemandu tersebut tidak mempunyai rekod saman tertunggak.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian juga telah dikenal pasti untuk membantu siasatan selain kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.
Tambah beliau, mayat telah dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















