Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

KLANG – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan parti itu tidak pernah berdiam diri atau mengalah dalam Kabinet sejak menyertai kerajaan, sebaliknya terus memperjuangkan agenda reformasi dan kebajikan rakyat seperti digariskan dalam manifesto.

Beliau berkata, dakwaan kononnya DAP menjadi senyap atau tidak lagi berani bersuara selepas berada dalam kerajaan adalah tidak berasas dan bercanggah dengan realiti sebenar peranan parti itu dalam pentadbiran.

“Ada yang kata DAP sudah diam, tak berani bersuara dan tak berani perjuangkan agenda kita.

“Tetapi dalam masa sama, ada pula yang kata mereka perlu berada dalam kerajaan untuk lawan DAP. Jadi apa maksudnya?” katanya ketika berucap pada Konvensyen DAP Selangor 2025, hari ini.

Menurut Anthony, hakikat ada pihak merasakan keperluan untuk ‘melawan’ DAP membuktikan parti itu tidak pernah berdiam diri dalam Kabinet.

“Itu bermaksud kita dalam Kabinet tak pernah diam. Kita perjuangkan agenda kita dan kita tidak apologetik kerana agenda itu datang daripada manifesto,” tegasnya dalam nada tinggi.

Beliau menjelaskan, walaupun DAP tegas membawa agenda reformasi institusi dan isu berkait kepentingan rakyat, setiap keputusan dalam Kabinet memerlukan rundingan, perbincangan dan persetujuan bersama.

Anthony turut menolak label DAP adalah parti perkauman atau memusuhi orang Melayu, sambil menegaskan DAP merupakan parti untuk semua rakyat Malaysia.

“DAP ini parti untuk rakyat Malaysia. Kita ada ahli dan penyokong Melayu, termasuk ramai anak muda di Selangor,” ujarnya.

Beliau berkata, perjuangan DAP turut merangkumi kepentingan orang Melayu, khususnya dalam isu keselamatan jalan raya yang memberi kesan besar kepada masyarakat Melayu.

“Setiap tahun, dua daripada tiga mangsa kemalangan jalan raya adalah penunggang motosikal dan hampir 80 peratus adalah anak Melayu. Kita perjuangkan keselamatan jalan raya demi kepentingan semua,” katanya.

Anthony turut menyentuh agenda pemerkasaan ekonomi masyarakat Melayu, sambil menegaskan DAP tidak pernah menentang usaha membantu golongan miskin atau meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Kalau untuk bantu orang miskin dan tingkatkan ekonomi rakyat, sama ada Melayu, Cina atau India, kita tak pernah bantah,” katanya.

Beliau menegaskan, DAP ditubuhkan bukan untuk memusuhi mana-mana parti, kaum atau individu, sebaliknya untuk melawan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan.

“Kita masuk politik bukan untuk bermusuhan, tetapi untuk membina negara dan membela rakyat,” katanya.

Anthony mengingatkan ahli parti supaya tidak terperangkap dengan serangan politik pihak yang hala tuju mereka tidak jelas, sebaliknya kekal fokus kepada tanggungjawab membina negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast