KUALA LUMPUR – Pendedahan terhadap salah laku dan rasuah sememangnya penting demi kepentingan awam, namun ia tidak boleh dilakukan secara semberono sehingga mengabaikan prinsip undang-undang dan keselamatan negara.
Pandangan itu ditegaskan oleh bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Haniff yang mengingatkan bahawa niat murni mendedahkan penyelewengan tidak menghalalkan kaedah yang salah.
Menurut beliau, sebarang maklumat melibatkan institusi keselamatan dan pertahanan negara perlu dikendalikan dengan penuh tanggungjawab kerana ia sering tertakluk kepada peruntukan undang-undang tertentu, termasuk Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Abdul Rahmat berpandangan, pendedahan dokumen sensitif secara terbuka bukan sahaja berisiko mengganggu keselamatan, malah boleh menjejaskan proses siasatan yang sepatutnya dijalankan secara profesional oleh pihak berkuasa.
“Malaysia mempunyai saluran sah untuk menangani salah laku seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, selain peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jika benar wujud kesalahan, laporkan melalui saluran yang betul. Jangan mengambil jalan pintas yang akhirnya boleh menimbulkan kesalahan baharu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Beliau mengulas tentang pendedahan demi pendedahan oleh aktivis dan ahli politik Bersatu, Badrul Hisham Shahrir atau lebih popular dengan panggilan Chegubard.
Tambahnya, tindakan mendedahkan maklumat tanpa kawalan juga berpotensi mencetuskan persepsi negatif terhadap individu atau institusi yang dinamakan, walaupun siasatan belum dijalankan atau bukti belum disahkan.
Dalam konteks politik semasa, Abdul Rahmat turut mengingatkan pendedahan oleh tokoh atau aktivis politik mudah disalah tafsir sebagai bermotifkan kepentingan tertentu yang mencemarkan mesej asal untuk membanteras rasuah.
Tegasnya, perjuangan menentang salah guna kuasa mesti berlandaskan undang-undang, bukan didorong emosi atau keinginan meraih perhatian awam.
“Integriti bukan sekadar apa yang didedahkan, tetapi bagaimana pendedahan itu dibuat,” katanya.
Abdul Rahmat berkata, kedaulatan undang-undang perlu kekal sebagai asas dalam menangani sebarang dakwaan salah laku, kerana tanpa disiplin tersebut, usaha membanteras rasuah boleh bertukar menjadi kekacauan maklumat dan penghakiman awam yang tidak adil. -MalaysiaGazette















