Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bersama Pengerusi DAP Negeri Selangor, Ng Sze Han ketika hadir pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor Tahun 2025 di Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 18 JANUARI 2026.

KLANG – DAP menolak keras dakwaan kononnya parti itu bertanggungjawab terhadap penjualan aset strategik negara ketika era Pakatan Harapan 1.0, sambil menegaskan keputusan berkaitan Khazanah Nasional dan Tabung Haji (TH) bukan dibuat oleh DAP.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, dakwaan yang mengaitkan DAP dengan penjualan hospital, tanah serta pelupusan aset negara dibuat tanpa berasaskan fakta dan hanya mengulangi naratif politik lama.

Beliau menegaskan, sepanjang tempoh itu, tidak pernah wujud wakil DAP dalam lembaga pengarah Khazanah Nasional, malah institusi pelaburan negara berkenaan dipengerusikan oleh perdana menteri ketika itu.

“Tak ada pun wakil DAP dalam lembaga pengarah Khazanah. Jadi kenapa semua keputusan itu nak dibesarkan dan dipalitkan kepada DAP?,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2025 di sini hari ini.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata, sekiranya terdapat persoalan mengenai keputusan Khazanah, ia wajar dirujuk kepada kepimpinan yang menerajui institusi tersebut pada masa berkenaan, bukan dijadikan modal politik untuk menyerang DAP.

Mengulas isu TH pula, beliau menegaskan institusi itu tidak pernah dipimpin oleh wakil DAP dan dakwaan sebaliknya merupakan satu pembohongan yang disengajakan.

“Pengerusi TH ketika itu seorang profesional. Bukan orang DAP, bukan wakil mana-mana parti politik,” tegasnya.

Jelasnya, masalah kewangan TH  bukan bermula pada 2018, sebaliknya telah berlarutan sebelum itu dan memerlukan campur tangan segera kerajaan bagi mengelakkan kerugian lebih besar.

Beliau berkata, kerajaan ketika itu mengambil langkah menyelamatkan TH melalui mekanisme yang diputuskan Kabinet, termasuk penubuhan syarikat tujuan khas bagi mengelakkan aset institusi berkenaan terpaksa dilupuskan.

“Fakta ini perlu dinyatakan dengan tepat. Jangan semua perkara yang tak betul disalahkan kepada DAP,” tegasnya.

Dalam pada itu, Anthony dalam nada menyindir berkata, beliau terpaksa menjawab terlalu banyak dakwaan berkaitan DAP sehingga ucapannya seolah-olah bertukar menjadi ucapan penggulungan.

“Saya hadir berucap pagi ini untuk Konvensyen DAP Selangor, tapi ucapan saya seolah-olah menggulung bagi Perhimpunan Agung UMNO. Semuanya tentang DAP dan DAP sahaja,” sindirnya.

Beliau mengingatkan rakan-rakan politik supaya berhujah secara matang dan berfakta, bukannya terus mengulang dakwaan yang tidak disokong bukti.

Anthony menegaskan DAP kekal komited untuk berpolitik secara bertanggungjawab serta mempertahankan fakta, termasuk dalam mempertahankan institusi penting negara daripada dimanipulasi demi kepentingan politik sempit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast