MADRID – Dua kereta api berkelajuan tinggi yang membawa ratusan penumpang di selatan Sepanyol bertembung dan mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang dan mencederakan lebih 70 yang lain pada Ahad, menurut perkhidmatan kecemasan.
Bencana itu berlaku apabila sebuah kereta api berkelajuan tinggi yang dalam perjalanan dari Malaga ke Madrid tergelincir berhampiran Adamuz, lalu memasuki landasan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi kereta api yang datang dari arah berlawanan, yang turut tergelincir, menurut badan kereta api Sepanyol, Adif dalam hantaran di X.
Media Sepanyol melaporkan jumlah itu boleh mencecah 100 orang, mengambil kira jumlah penumpang yang terperangkap di dalam gerabak.
“Masalahnya ialah gerabak-gerabak itu berpintal, jadi besi berpintal bersama orang di dalamnya. Kami terpaksa mengeluarkan seorang yang telah meninggal dunia untuk dapat mencapai seseorang yang masih hidup. Ia kerja yang sukar dan rumit,” kata Francisco Carmona, ketua pasukan bomba Cordoba, kepada penyiar awam RTVE.
Seorang saksi memberitahu RTVE, salah satu gerabak kereta api pertama telah terbalik sepenuhnya.
Seorang wartawan daripada penyiar awam RNE yang berada dalam salah satu kereta api berkata, impak perlanggaran itu dirasai seperti “gempa bumi”.
Ada penumpang menggunakan tukul kecemasan untuk memecahkan tingkap gerabak dan keluar, katanya. – Agensi
















