GEORGE TOWN – “Saya hanya sempat menyelamatkan diri,” kata salah seorang pemilik daripada lima rumah kedai yang musnah dalam kebakaran di Lebuh Presgrave di sini, malam tadi.
Menurut Ooi Choon Hock, 67, ketika kejadian dia baru selesai mencuci pakaian sebelum keluar dari bilik mandi dan mendapati api sudah marak di dalam premis.
“Saya baru lepas cuci baju, keluar dari bilik mandi dan nampak api. Saya cuba nak ambil duit dan lari sama, tapi tak sempat sebab api cepat marak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.44 malam.
Menurutnya, kesemua mangsa berjaya keluar dari premis sebelum ketibaan pihak bomba dan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

“Kebakaran melibatkan lima daripada tujuh unit deretan rumah kedai, dengan keluasan setiap premis dianggarkan 30 x 70 kaki persegi.
“Empat daripada premis berkenaan dijadikan kediaman manakala sebuah lagi digunakan sebagai stor simpanan perkakasan ‘hardware’.
“Impak kebakaran itu menyebabkan sebuah premis musnah 80 peratus, dua lagi 30 peratus, manakala dua lagi sekitar 10 peratus,” katanya hari ini.
John Sagun berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.08 malam dan dipadam sepenuhnya pada jam 11.11 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.53 pagi selepas kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada bahaya lain.
“Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan seekor kucing milik penghuni yang terperangkap dalam kebakaran tersebut.
“Kes kini diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















