KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) digesa membuat pindaan terhadap perlembagaannya bagi mempercepatkan penyertaan parti baharu serta mengukuhkan kesepakatan dalam gabungan itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata, langkah ini penting bagi memudahkan parti-parti baharu dan mesra BN menyertai gabungan itu kelak.
“Diharap BN segera buat mesyuarat dan putuskan agar semua parti Friends Of BN yang sudah lama menunggu diterima masuk tanpa syarat.
“Selepas itu pinda perlembagaaan BN iaitu ahli baru diterima masuk tanpa perlu keputusan konsensus tetapi ditukar kepada keputusan majoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Puad berkata demikian mengulas cadangan Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan supaya parti-parti yang ‘Mesra BN’ diterima sebagai ahli penuh gabungan tersebut.
Beliau menegaskan, pembukaan pintu oleh BN tidak seharusnya hanya terhad kepada PPP, tetapi merangkumi semua parti mesra BN atau Friends of BN.
Antara parti yang dicadangkan termasuk Makkal Sakti, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) yang boleh diterima sebagai ahli gabungan penuh komponen BN.
Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan PPP diterima kembali sebagai parti komponen BN ketika merasmikan Perhimpunan Agung PPP Ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Puad menegaskan, pindaan perlembagaan itu bukan sahaja memudahkan integrasi parti-parti sekutu yang telah lama menunggu pengiktirafan rasmi, malah memberi fleksibiliti lebih tinggi dalam pentadbiran BN.
Pendekatan keputusan majoriti berbanding konsensus dijangka mengurangkan kelewatan membuat keputusan strategik dan memperkukuh daya saing politik BN dalam menghadapi pilihan raya.
“Langkah ini membolehkan semua parti komponen memberi fokus kepada pengukuhan kerjasama untuk menghadapi cabaran politik semasa dan memperkukuh kestabilan kerajaan,” katanya.
Malah Puad berkata, pemindaan perlembagaan memberi isyarat bahawa BN berani membuat keputusan proaktif demi kelangsungan gabungan dan kesejahteraan politik jangka panjang.
Beliau menyeru semua pihak dalam BN bersatu padu, memanfaatkan perubahan untuk memantapkan struktur gabungan, meningkatkan koordinasi antara parti-parti komponen, serta memastikan BN bukan sahaja stabil, tetapi juga cekap dan responsif terhadap dinamik politik semasa.
Awal hari ini, Makkal Sakti mengulangi sokongan mereka agar BN mempertimbangkan penerimaan semua parti Friends of BN, termasuk parti itu sendiri yang telah setia bersama gabungan selama hampir 17 tahun, kata Presidennya, Datuk Seri RS Thanenthira. – MalaysiaGazette
















