Lelaki warga Bangladesh yang ditahan oleh AKPS di KLIA Terminal 2, semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh yang disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu ditahan ketika cuba berlepas ke Dhaka, Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, penahanan dibuat kira-kira pukul 4.40 petang di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2 ketika pemeriksaan rutin dijalankan terhadap seorang penumpang yang dijadualkan berlepas pada pukul 7.25 malam menaiki penerbangan AirAsia.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki berusia 39 tahun itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (ePass) yang dikepilkan di dalam pasport miliknya.

“Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati pas berkenaan disyaki tidak sah dan palsu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, lelaki terbabit telah ditahan sebelum ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 bagi tujuan siasatan lanjut.

Tambah kenyataan itu, individu berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan AKPS KLIA untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.

Katanya, AKPS akan terus memperketat kawalan keselamatan di pintu masuk dan keluar negara bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan sempadan Malaysia sentiasa terpelihara. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast