Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa agar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dipertimbangkan untuk dihidupkan semula bagi menilai tahap kemajuan murid selepas enam tahun pendidikan rendah.

Beliau berkata. peperiksaan masih berperanan penting sebagai ukuran prestasi akademik dan tidak wajar diketepikan atas alasan retorik semata-mata.

“Peperiksaan adalah penanda aras. Ia perlu untuk mengukur kemajuan dan tahap kecemerlangan pelajar secara berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata demikian menjelang pengumuman Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, reformasi pendidikan yang bakal diumumkan mesti memberi tumpuan kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam penilaian PISA yang mengukur kemahiran asas membaca, matematik dan sains dalam kalangan pelajar berusia 15 tahun.

Dalam masa sama, katanya, penekanan terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperkukuh bagi memastikan negara mempunyai bilangan jurutera dan saintis yang mencukupi untuk menghadapi cabaran teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI).

“Malaysia tidak boleh terus ketinggalan termasuk berbanding Vietnam, sama ada daripada segi skor PISA atau jumlah jurutera. Tidak ada kompromi wajar dibuat terhadap piawaian pendidikan tanpa sandaran fakta, data dan keperluan sebenar sistem pendidikan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau melahirkan harapan agar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri, Wong Kah Woh mampu melaksanakan reformasi yang sukar tetapi perlu selaras dengan peruntukan besar RM66.2 bilion untuk sektor pendidikan.

Jelasnya, reformasi berkenaan mesti menghasilkan perubahan sebenar dan bukan sekadar dasar atas kertas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast