Datuk Tan Teik Cheng

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa wujud ‘Pasukan B dalam DAP’ sebelum menarik balik dakwaan itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan memalukan kepimpinan gabungan berkenaan.

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, tindakan bercakap tanpa berfikir panjang dan kemudian bercanggah dengan kenyataan sendiri jelas mencalar kredibiliti BN yang dibina sejak sekian lama.

“Sebagai Pengerusi BN, beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan secara semberono, kemudian menarik baliknya secara tergesa-gesa. Ini bukan sahaja mengelirukan malah menghina kredibiliti politik BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Teik Cheng menegaskan, kegagalan Ahmad Zahid menilai dan memperbetulkan gaya kepimpinannya hanya akan mempercepatkan kehilangan sokongan rakyat terhadap BN.

“Jika pendekatan kepimpinan seperti ini berterusan, usaha kononnya untuk ‘menghidupkan semula BN’ akan kekal sebagai retorik kosong tanpa keyakinan rakyat,” ujarnya.

Menurut beliau, rakyat mengharapkan kepimpinan yang berprinsip, konsisten dan bertanggungjawab bukan pemimpin yang sering berubah pendirian dan mencetuskan kontroversi.

“Tindak-tanduk Pengerusi BN ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan ahli gabungan, malah menjadikan beliau liabiliti terbesar kepada BN,” katanya.

Beliau turut mengingatkan setiap kenyataan Pengerusi BN membawa imej keseluruhan gabungan bukan sekadar pandangan peribadi atau percaturan politik individu.

“Tingkah laku tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja merosakkan imej BN di dalam negara, malah menjadikan gabungan ini bahan ketawa di peringkat antarabangsa,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. bukan ke MCA yang beriya iya nak keluar BN nak masuk PN. Jadi apa yang sobuk sangat nak mengata DSZH. Cermin diri sendiri dulu yang hidup menumpang macam biawak hidup

Comments are closed.