KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai mengugut untuk mencederakan adik perempuannya serta bertindak menyerang abangnya sendiri di Kampung Rancangan Ranggu, di Tawau, Sabah, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila suspek berusia 27 tahun bertindak agresif selepas ditegur oleh bapanya.
“Suspek kemudiannya mengambil sebatang penyapu dan melibas ke arah mangsa yang juga abang kandungnya, namun tidak terkena.
“Kemudian, mangsa ditumbuk oleh suspek ketika sedang keluar melihat bapanya dan turut mengancam untuk membunuh adik perempuannya,” jelasnya dalam kenyataan.
Menurutnya, mangsa berusia 41 tahun bertindak membuat laporan polis kerana berasa terancam dengan sikap suspek yang sering mengamuk apabila ditegur ahli keluarga.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan suspek kira-kira jam 6.15 petang di hadapan rumahnya.
Menurut Jasmin, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang mengancam keselamatan keluarga dan masyarakat.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette















