KUALA NERUS – Sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan program pengantarabangsaan ke Jepun bermula 5 hingga 11 Januari lalu, melibatkan kerjasama akademik bersama Nihon University, di samping pelaksanaan aktiviti komuniti dan kebajikan di Tokyo Central Mosque serta Masjid Fujikawaguchiko.
Program ini bertujuan memperkasa pembangunan sahsiah dan kepimpinan mahasiswa melalui pendedahan antarabangsa yang mengintegrasikan elemen kesukarelawanan, pertukaran budaya serta diplomasi pendidikan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada persekitaran akademik dan sosial di Jepun, sekali gus memperluas perspektif global dalam kalangan mahasiswa.
Selain sesi lawatan akademik dan perbincangan bersama warga Nihon University, mahasiswa UMT turut menyantuni komuniti setempat melalui aktiviti khidmat masyarakat di masjid-masjid terpilih, yang menjadi medium memperkukuh hubungan antara budaya serta memupuk nilai kemanusiaan sejagat.
Wakil pelajar, Wan Darwisy Khazin Wan Ahmad Rosddy berkata program tersebut memberi pengalaman bermakna kepada peserta dalam membina jati diri dan keupayaan kepimpinan.
“Penyertaan dalam program ini membuka ruang pembelajaran yang luas kepada kami, khususnya dalam memahami budaya dan nilai masyarakat Jepun.
“Aktiviti kesukarelawanan yang dilaksanakan pula mendidik kami tentang kepentingan empati, tanggungjawab sosial serta peranan mahasiswa sebagai agen perubahan di peringkat global,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT, Prof. Dr. Izani Mohd Zain berkata, inisiatif lawatan kepimpinan mahasiswa ke Jepun itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik dan seimbang.
“Pendedahan antarabangsa yang menggabungkan elemen kepimpinan, kesukarelawanan dan diplomasi budaya mampu membentuk mahasiswa yang berdaya saing, berempati serta mempunyai jati diri yang kukuh dan seterusnya melahirkan mahasiswa idaman,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, penglibatan mahasiswa dalam kerjasama strategik bersama institusi luar negara serta aktiviti khidmat masyarakat di peringkat antarabangsa berupaya meningkatkan keyakinan diri dan keupayaan kepimpinan rentas budaya, di samping memperkukuh peranan mahasiswa UMT sebagai duta kecil universiti dan negara di persada global.
Program pengantarabangsaan itu mencerminkan komitmen berterusan UMT dalam melahirkan graduan berwawasan global, berintegriti serta mempunyai kepekaan sosial yang tinggi, selari dengan aspirasi pendidikan tinggi negara. – MalaysiaGazette
















