Namewee

KUALA LUMPUR – Pemuzik kontroversi, Namewee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas satu pertuduhan baharu memiliki bahan di bawah Akta Racun di sebuah hotel di Jalan Conlay, tahun lalu.

Tertuduh atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 43, didakwa atas pertuduhan tambahan memiliki 0.78 gram Sildenafil pada pukul 4.30 petang, 22 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau hukuman penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pengarah berkenaan turut meminta dibicarakan atas satu pertuduhan lain iaitu memiliki dadah jenis Methamphetamine dengan berat bersih 1.57 gram pada waktu dan tempat sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau dikenakan hukuman denda maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pengarah tersebut membuat pengakuan tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mahkamah menetapkan 5 Mac ini untuk sebutan kes dan mengekalkan jaminan RM2,000 atas pertuduhan memiliki dadah yang ditetapkan sebelum ini.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal manakala peguam Joshua Tay mewakili tertuduh.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret berlainan turut melepas dan membebaskan Namewee daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya.

Majistret S. Arunjothy membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa keputusan patologi terhadap Namewee adalah negatif.

Mengikut pertuduhan, melalui ujian air kencing, tertuduh didakwa memberikan diri sendiri dadah jenis amphetamine, methamphetamine, 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carbolic Acid (THC) dan ketamin ke dalam badannya.

Kesalahan itu dilakukan di tandas Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pukul 7.15 malam pada 22 Oktober tahun lalu.

Menurut laporan media, Namawee yang ditahan pada hari yang sama, turut disiasat bagi kes kematian pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin dan dibebaskan dengan jaminan polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast