KUALA LUMPUR – Isu pembinaan kuil haram tidak wajar diputar belit sebagai isu agama atau perkauman, sebaliknya perlu ditangani sebagai pelanggaran undang-undang yang mencabar kedaulatan negara, tegas Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar.
Beliau berkata pembinaan rumah ibadat secara tidak sah di atas tanah milik pihak lain merupakan pelanggaran nyata undang-undang yang tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan, termasuk atas nama keharmonian atau sensitiviti agama.
“Isu ini bukan isu kebencian agama atau perkauman. Ia adalah isu pelanggaran undang-undang serta kelemahan penguatkuasaan.
“Ia juga bukan untuk menyekat kebebasan beragama, tetapi untuk memastikan undang-undang dihormati dan keharmonian sebenar dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Sukri menambah, kegagalan bertindak tegas hanya akan menghantar mesej berbahaya bahawa undang-undang boleh dicabar dan dikecualikan jika diselindungi sentimen tertentu.
Beliau turut menegaskan bahawa undang-undang tidak boleh dikuatkuasakan secara terpilih, lebih-lebih lagi apabila melibatkan rumah ibadat, kerana keadilan bersyarat hanya akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap sistem pemerintahan.
Sebagai perbandingan, beliau mengingatkan bahawa pembinaan masjid dan surau tertakluk kepada kawalan ketat termasuk pemilikan tanah yang sah serta pemantauan berterusan pihak berkuasa agama.
“Tidak pernah dibenarkan masjid atau surau didirikan di atas tanah milik pihak lain, walaupun atas alasan keperluan atau sentimen,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















