MUAR – Seorang peniaga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol kekasihnya, seorang remaja perempuan bawah umur hungga hamil, tahun lalu.
Muhammad Aniq Syabil Mohd Saharil yang berusia 21 tahun membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Batu Pahat, pada waktu malam, Julai dan Disember tahun lalu.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan bagi setiap pertuduhan.
Berdasarkan laporan, polis menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung seorang remaja perempuan disahkan hamil ketika menjalani pemeriksaan kesihatan.
Sebelum itu, mangsa yang hamil 20 minggu dilaporkan demam dan dibawa ke hospital.
Siasatan polis mendapati tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih yang dikenali sejak 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan kepada tertuduh.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh diperintah melapor diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan serta tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan kes tersebut disebut semula pada 19 Mac ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.- MalaysiaGazette
















