KUALA LUMPUR – Asas kepada pembentukan Malaysia adalah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara berdaulat.
Justeru semangat perpaduan, saling menghormati dan kerjasama antara negeri serta Kerajaan Persekutuan perlu terus dipelihara demi kepentingan negara, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, semua pihak sewajarnya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berpaksikan perpaduan nasional dan hubungan erat antara wilayah tanpa menimbulkan ketegangan yang boleh menjejaskan keharmonian negara.
“Ahli-ahli Yang Berhormat khususnya perlu lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan dan tindakan agar tidak menghasut sehingga mewujudkan ketegangan antara wilayah.
“Sebarang perbezaan pandangan, harus diselesaikan secara matang dan berhemah, bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Rakyat bagi sesi 2026 hari ini.
Baginda turut menegaskan, hak-hak negeri perlu sentiasa dihormati selaras dengan semangat Persekutuan, namun pada masa yang sama kepentingan Malaysia secara keseluruhan hendaklah sentiasa diutamakan melebihi kepentingan sempit mana-mana pihak.
Selain itu, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di dalam Dewan bukan sekadar mencerminkan pendirian politik parti, sebaliknya akan menentukan hala tuju dan masa depan negara.
“Oleh itu, laksanakan tugas ini dengan penuh amanah, kebijaksanaan dan rasa tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat,” titah Baginda. – MalaysiaGazette
















