Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR – UMNO sedia dilabel juara perkauman apabila mahu menyatukan orang Melayu menerusi Rumah Bangsa yang diusulkan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025) minggu lalu.

Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin berkata, parti Melayu itu perlu menyatupadukan orang Melayu dan menguruskan rasa sangsi antara satu sama lain sebelum bekerjasama bangsa lain dengan lebih baik dan harmoni.

“Soal menyatupadukan orang ini mesti bermula kefahamannya di setiap blok yang ada. Masyarakat Melayu mesti ada keredaan hati sesama sendiri, masyarakat Cina mesti ada keredaan hati sesama sendiri, begitu juga masyarakat India dan lain-lain.

“Barulah kita boleh bekerjasama dengan baik. Tapi kalau saling sangsi, dalam satu blok pun sangsi, siapa nak ambil tanggungjawab? Kita tak boleh orang lain suruh kita lebih bersatu.

“Melainkan kita sendiri yang kita bawa dan kita beritahu orang kita untuk kita kena bersatu padu. Sebab itu UMNO unjurkan tanggungjawab ini dan kita ambil, tak kiralah apa pun pandangan skeptikal.

“Biasalah nak buat baik ini memang susah. Saya tengok zaman Rasulullah SAW pun nak menyatukan umat adalah antara perkara paling mencabar. Jadi kita ambil ibrah dan semangat daripada itu. Niatnya baik dan harus diuruskan dengan baik,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Jumaat lalu, Ahmad Zahid semasa ucapan dasar PAU 2025 mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa bagi menerima penyertaan semula ahli-ahli parti dan yang belum menjadi ahli parti atau yang telah meninggalkan parti untuk diterima menjadi ahli-ahli UMNO.

Ahmad Zahid juga mencadangkan penubuhan Musyawarah Nasional bagi mengurus selia dan membincang agenda politik Melayu yang menyentuh soal kedudukan agama Islam, politik, ekonomi, pendidikan, perpaduan dan masa depan anak-anak bangsa.

Hafiz juga berkata, parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu menerima hakikat inisiatif Rumah Bangsa yang terarah kepada satu kaum sahaja sebenarnya cerminan kepada konsep identiti tunggal yang diamalkan kebanyakan parti politik.

“Kita punya landskap politik negara kita memang parti-parti politik yang mendominasi dari peringkat awal sehinggalah sekarang adalah parti politik yang berasaskan kaum, itu asasnya dulu.

“UMNO mewakil masyarakat Melayu, MCA, masyarakat Cina, MIC, masyarakat India, kita bergabung di bawah Barisan Nasional (BN).

“Ada juga parti-parti lain yang masih mengekalkan konsep itu seperti Amanah, walaupun di dalam Pakatan Harapan (PH) dan dikatakan berbilang kaum, tapi Amanah sebenarnya entiti tunggal.

Kalau kita tengok, Gerakan berbilang kaum, tapi entiti tunggal juga. Kalau kita nak kata DAP terbuka kepada semua kaum, kita tengok dalam CEC, dari atas hingga ke bawah, masih entiti tunggal juga,” katanya lagi.

Ditanya tentang Rumah Bangsa merupakan penjenamaan semula Muafakat Nasional (MN), sebaliknya beliau berkata inisiatif UMNO itu tidak terhadap kepada gabungan parti politik semata-mata.

“Apa yang diunjurkan Presiden UMNO dalam Rumah Bangsa ini lebih kepada soal penyatuan orang Melayu, bukan sahaja politik, bahkan mencakupi soal sosial, ekonomi, sosial serta kelangsungan orang Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast