KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatan membabitkan bekas pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada pendakwa raya hari ini.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu turut mengesyorkan cadangan pertuduhan bagi tujuan kajian dan arahan lanjut.
”SPRM telahpun mengemukakan kertas siasatan bagi siasatan melibatkan pegawai tertinggi ATM berkait OP Parasit dan Op Star. dengan cadangan pertuduhan kepada pihak pendakwa raya bagi tujuan kajian dan arahan lanjut.
“Bagaimananpun, sebarang maklumat lanjut mengenai perkembangan tersebut akan dimaklumkan kemudian dari masa ke semasa,” katanya dalam kenyataan secara ringkas hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, SPRM akan melengkapkan siasatan terhadap bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Isnin depan.
Azam dilaporkan berkata, SPRM akan mencadangkan kepada pasukan Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh tiga atau empat individu bagi kes rasuah melibatkan tender perolehan ATM dan salah guna dana.
SPRM berjaya menyita dan merampas wang tunai dan aset bernilai RM16.1 juta dalam Op Parasit dan Op Star.
Bagi Ops Parasit, keseluruhan wang tunai dan aset dirampas adalah bernilai RM11.4 juta manakala, Op Star bernilai RM4.7 juta. – MalaysiaGazette
















