KUALA LUMPUR – Sekian lama menyepi susulan pelbagai kontroversi – penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz meluahkan rasa rindu terhadap dua anaknya menerusi lagu berjudul Takdir Buatku.
Penyanyi asal lagu Takdir Buatku adalah Izzal Anuar.
Perkongsian itu turut disertakan bersama kapsyen ringkas yang menggambarkan keadaannya yang sukar untuk menerima takdir.
“Andai benar takdir ini yang tertulis buatku, sejujurnya sukar untukku berdamai dengannya,” tulisnya.
Perkongsian berdurasi selama seminit lebih itu turut meraih perhatian ibu kepada penyanyi kelahiran Singapura itu, Siti Hafizah Sheikh Mohamad yang juga menitipkan doa buat cucu-cucunya.
“Semoga Allah pelihara jantung hati kami menjadi anak-anak soleh dan solehah. Walau jauh di mata tetapi tetap di dalam doa dan ingatan kami sekeluarga,” katanya,
Untuk rekod, Aliff pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Bella Astillah pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrian dan Ara Adreanna.
Pasangan itu bercerai kali kedua pada 13 Jun 2024 dan kali pertama mereka bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.- MalaysiaGazette
















